Perselisihan faham dua keluarga cetus kekecohan di Hulu Selangor

SHAH ALAM – Perselisihan faham dan ketidakpuasan hati antara dua keluarga dipercayai menjadi punca insiden rusuhan sekumpulan individu di sebuah taman perumahan di Bukit Sentosa, Hulu Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video tular di laman sosial Facebook yang memaparkan kejadian tersebut kira-kira jam 4.30 petang pada Isnin.
“Susulan kejadian itu, pihak polis telah menerima dua laporan berasingan berkaitan insiden yang sama.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada ketidakpuasan hati serta perselisihan faham yang melibatkan dua keluarga,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Shazeli berkata, bertindak atas maklumat, polis telah menahan enam lelaki warga tempatan berusia antara 18 hingga 49 tahun bagi membantu siasatan.
“Insiden tersebut berkaitan perselisihan faham peribadi dan tidak melibatkan sebarang unsur gangsterisme mahupun isu perkauman,” tegasnya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri yang menyalahi undang-undang serta tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya.
Tambah beliau, polis akan mengambil tindakan tegas berlandaskan lunas perundangan terhadap mana-mana pihak yang melakukan perbuatan sehingga menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam
Ringkasan AI
- Perselisihan faham antara dua keluarga punca rusuhan di Bukit Sentosa Hulu Selangor
- Ketua Polis Selangor mengesan video tular rusuhan di Facebook
- Dua laporan polis diterima berkaitan insiden tersebut
- Enam lelaki ditahan untuk membantu siasatan
- Insiden disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
