PBAKL 2025: Karangkraf tawar diskaun hingga 40 peratus

Roziyana (kanan) dan Nur Layli Khayandari menunjukkan buku jualan terlaris serta koleksi bahan bacaan bahasa Inggeris yang akan dijual di PBAKL 2025.
Roziyana (kanan) dan Nur Layli Khayandari menunjukkan buku jualan terlaris serta koleksi bahan bacaan bahasa Inggeris yang akan dijual di PBAKL 2025.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Grup Buku Karangkraf (GBK) menawarkan harga diskaun hingga 40 peratus bagi pembelian buku sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) bermula Jumaat hingga 1 Jun ini.

Pengurus Besar Jualannya, Roziyana Omar berkata, promosi tersebut melibatkan buku terpilih dan koleksi bacaan Islamik.

"Antara buku yang diberi diskaun tersebut termasuk 'Tak Faham...Sudah' daripada Datuk Kasim Elias dan 'Peluang Kedua' daripada Muhammad Izzad Daniel Abdullah.

"Banyak lagi buku yang kita berikan diskaun sepanjang PBAKL 2025 berlangsung sebagai tanda pihak Kumpulan Karangkraf memberikan bahan bacaan bermutu dengan harga menarik kepada semua pembaca.

"Selain itu, pengunjung yang berdaftar sebagai ahli GBK juga dapat menikmati tawaran diskaun sama dalam program berkenaan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Ujar Roziyana, lebih daripada 15 terbitan buku baharu melibatkan pelbagai kategori turut dijual kepada pengunjung sempena penganjuran PBAKL 2025.

"Walaupun buku berkenaan merupakan terbitan baharu namun, diskaun tetap diberikan terutama kepada ahli dengan pemotongan harga sebanyak 20 peratus.

"Sepanjang acara tersebut, reruai Karangkraf menjual hampir semua kategori buku termasuk al-Quran, Islamik, kanak-kanak, novel dan buku sesuai untuk pembaca remaja," ujarnya.

Menurutnya, reruai GBK sempena PBAKL tahun ini membawakan lebih 1,000 tajuk buku kepada pengunjung.

Artikel Berkaitan:

Antara pengunjung yang hadir ke PBAKL 2025 pada Jumaat.
Antara pengunjung yang hadir ke PBAKL 2025 pada Jumaat.

Tambah Roziyana, pengunjung juga boleh mendapatkan buku-buku tertentu dengan tawaran harga serendah RM10.

"Buku berkenaan merangkumi novel, bahan bacaan resipi dan kraf. Kita juga menganjurkan pelbagai aktiviti menarik termasuk sesi bersama penulis buku berjudul 'Jalan Tegak' iaitu Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama tetamu istimewa pada Sabtu ini," menurutnya.

Sementara itu, Editor Bahasa Inggeris GBK, Nur Layli Khayandari Mohamed Ain berkata, pihaknya juga buat pertama kali melancarkan koleksi bacaan bahasa Inggeris menerusi penganjuran program tersebut.

"Koleksi berkenaan memperkenalkan empat buku iaitu 'Tragic Loss', 'Why The Hate?', 'A Journey Through Betrayal and Back' dan 'Letters To My Sisters'.

"Buku tersebut juga ditawarkan harga diskaun hingga 20 peratus walaupun baru dilancarkan pada tahun ni," ulasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!