WHO pantau varian baharu Covid-19, mula merebak ke 22 negara termasuk Asia Tenggara
Menurut WHO, varian NB.1.8.1 yang berasal daripada keturunan Omicron JN.1 sudah tersebar di 22 negara sehingga 28 Mei 2025.

NEW YORK - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang memantau peningkatan varian baharu Covid-19 dikenali sebagai NB.1.8.1 yang mula merebak di beberapa negara termasuk Eropah, Asia Tenggara serta Amerika Utara dan Selatan.
Menurut WHO, varian NB.1.8.1 yang berasal daripada keturunan Omicron JN.1 sudah tersebar di 22 negara hingga 28 Mei 2025.
"Varian ini dikategorikan sebagai varian yang sedang dipantau,” menurut WHO pada Sabtu.
WHO menegaskan varian ini tidak menyebabkan penyakit yang lebih serius berbanding varian Covid-19 lain yang kini beredar.
Menurut laporan, gejala jangkitan varian NB.1.8.1 adalah serupa dengan varian Covid-19 lain.
Profesor William Schaffner dari Vanderbilt University Medical Center, Amerika Syarikat berkata, tiada gejala khas varian tersebut namun varian sebelum ini lebih mudah menyebabkan pesakit dimasukkan ke hospital.
Kebanyakan pesakit yang dijangkiti mengalami demam, menggigil, batuk, sakit tekak, keletihan, sesak nafas dan cirit-birit.
Imuniti hasil vaksinasi atau jangkitan sebelum ini dijangka masih berkesan melawan varian NB.1.8.1.
Walaupun pakar tidak melihat varian ini sebagai ancaman serius, langkah pencegahan masih penting untuk elak penularan.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

