Wanita pemacu utama kukuhkan ekonomi serantau

SHAH ALAM - Program pemerkasaan wanita, Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN (AWES) 2025 yang diadakan baru-baru ini dilihat mampu menempatkan wanita sebagai pemacu utama dalam usaha memperkukuh integrasi ekonomi serantau.
Bertemakan Empowering Women, Energising ASEAN: Pioneering Economic Integration for a Resilient Tomorrow, AWES 2025 bukan sekadar persidangan, tetapi satu gerakan yang menyatukan lebih 700 pemimpin wanita, penggubal dasar dan usahawan dari seluruh ASEAN.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Mastura Ahmad Mustafa berkata, sebagai penganjur bersama bagi AWES 2025, MITI komited untuk memastikan penyertaan wanita dalam sektor perdagangan dan pelaburan diperkasa melalui sesi dialog dasar, pemadanan perniagaan dan bengkel (workshop) kepimpinan yang dirangka khas buat wanita.
“Inisiatif ini selaras dengan visi Madani dan komitmen Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk membina ekonomi yang terangkum, mampan dan berdaya tahan. AWES membuka ruang untuk perbincangan berketerangkuman, membolehkan kerajaan-kerajaan ASEAN merangka dasar yang lebih bersasar dan berimpak tinggi atas komuniti wanita serantau.
“Saya berharap hasil perbincangan di AWES dapat dimajukan kepada penggubal-penggubal dasar ASEAN yang seterusnya memastikan setiap dasar dan strategi yang dirangka akan lebih inklusif.
“Ia juga memberi peluang kepada para wanita untuk sama menyumbang kepada usaha mempercepat dan memperkukuhkan integrasi ekonomi ASEAN supaya setiap warga ASEAN dapat menikmati kemakmuran dan pertumbuhan ekonomi rantau ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Menteri MITI, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz merasmikan AWES 2025 yang diadakan pada 24 hingga 25 MEI 2025 di Kuala Lumpur.
Hadir sama ialah Pengerusi Yayasan Kepimpinan Wanita, Datuk Hafsah Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei.
Mengulas lanjut, Mastura berkata, usahawan wanita di ASEAN menghadapi pelbagai cabaran, termasuk akses terhad kepada pendanaan, kekurangan latihan keusahawanan dan halangan dalam menembusi pasaran serantau.
“MITI sedar bahawa bagi mengatasi cabaran-cabaran ini, pendekatan yang lebih bersepadu diperlukan. Melalui kerjasama serantau, kita boleh memperkenalkan dasar-dasar yang menyokong pembangunan kapasiti usahawan wanita seperti program latihan berasaskan teknologi, inovasi dan digital serta mewujudkan dana khas untuk wanita yang berminat dalam keusahawanan.
“Selain itu, memperkasakan jaringan usahawan wanita ASEAN melalui platform digital dapat memudahkan perkongsian sumber dan akses kepada pasaran yang lebih luas,” katanya.
Dalam pada itu, Mastura berkata, melalui inisiatif seperti AWES 2025 dan program-program lain yang menyokong pemberdayaan wanita, kita dapat membina ekosistem yang menyokong pertumbuhan usahawan wanita, memperkukuh jaringan serantau dan memastikan wanita mendapat akses yang adil kepada peluang ekonomi.
“Dengan komitmen bersama, kita boleh merealisasikan masa depan ASEAN yang terangkum dan mampan, dipimpin oleh wanita yang berdaya saing.
“Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) terbaharu kini merangkumi bab khusus mengenai penyertaan ekonomi wanita kerana perdagangan inklusif adalah perdagangan yang mampan,” katanya.
Platform kerjasama konkrit
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kepimpinan Wanita, Emylia Liyana Anwar berkata, AWES 2025 mempercepatkan integrasi ekonomi serantau melalui platform kerjasama konkrit, inisistif Bridging Lives, kerjasama strategik dan tema yang jelas.

Menurutnya, melalui platform kerjasama konkrit, AWES menghimpunkan lebih 700 pemimpin dari kerajaan, perniagaan dan masyarakat ASEAN untuk membuat komitmen nyata.
“Menerusi inisiatif Bridging Lives, ia membina jambatan fizikal di komuniti luar bandar untuk meningkatkan akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan.
“Melalui kerjasama strategik pula, AWES 2025 melibatkan rakan kongsi utama seperti UOB Malaysia, Kuok Brothers, Liberty General Insurance, Prudential Assurance Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Yayasan Peneraju dan Rizman Ruzaini untuk menyokong inisiatif pemerkasaan wanita,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, cabaran terbesar dihadapi oleh wanita di ASEAN yang diperolehi berdasarkan data McKinsey yang dibentangkan di AWES 2025 ialah jurang gender yang boleh merugikan ekonomi antaranya Malaysia sahaja boleh kehilangan USD 50 bilion nilai ekonomi.
Menurutnya, ASEAN mempunyai potensi ekonomi $2.3 trilion yang belum dimanfaatkan sepenuhnya.
Bagaimanapun, Emylia Liyana berkata, penyelesaian melalui AWES 2025 mendepani cabaran tersebut ialah melalui kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta seperti yang ditunjukkan melalui sokongan MITI dan rakan kongsi korporat.
“Ia melibatkan platform untuk berkongsi pengalaman dan penyelesaian antara negara ASEAN dan inisiatif konkrit seperti Bridging Lives yang menangani halangan infrastruktur,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap berdasarkan komitmen AWES 2025 ialah mewujudkan asas yang kuat untuk kerjasama berterusan dalam dasar responsif gender, keusahawanan wanita, dan pertumbuhan ekonomi inklusif.
“Saya juga mengharapkan legasi berterusan antaranya inisiatif seperti Bridging Lives akan dipantau dan dibentangkan semasa penutupan Pengerusiaan ASEAN Malaysia pada Oktober,” katanya.
Integrasi ekonomi serantau lebih inklusif
Bagi Ketua Pengasas dan Pegawai Eksekutif Prodigy, Sharnaz Saberi berkata, AWES 2025 berpotensi menjadi catalyst iaitu yang utama kepada integrasi ekonomi serantau yang lebih inklusif dan berteraskan kepimpinan wanita.
“Terima kasih AWES kerana memberi peluang kepada Prodigy Women Orchestra untuk berkarya dan menjadi perintis kepada kebangkitan wanita dalam seni muzik orkestra.
“Dengan menyediakan platform serantau untuk jaringan, kolaborasi, dan pemerkasaan kapasiti, AWES mampu memperluas pasaran dan peluang rentas sempadan untuk usahawan wanita dalam industri kreatif, dengan memudahkan kerjasama produksi, pertukaran idea dan karya seni,” katanya.
Sementara itu, Kurator AFK Collection, Zena Khan berkata, AWES 2025 boleh bermula dengan mendengar pengalaman wanita dalam perniagaan, industri dan projek serantau, mencipta analisis kejayaan dan kegagalan untuk mengenal pasti bidang yang wanita memerlukan lebih banyak sokongan.
“Memperbaiki platform dari mana wanita bermula dan beroperasi boleh memberi impak besar kepada kedudukan ekonomi mereka dan sepanjang generasi meningkatkan kedudukan wanita di ASEAN. Ia sekali gus akan membuka potensi ekonomi selanjutnya untuk Malaysia dan ASEAN,” katanya.
Bagi Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Operasi Pantas, Syaheedah Jes Izman berkata, AWES 2025 boleh memacu integrasi ekonomi yang diterajui wanita yang inklusif dengan menyatukan usahawan, penggubal dasar dan pemimpin wanita ASEAN untuk memperjuangkan dasar yang saksama.
Menurutnya, dengan mempromosikan akses kepada pasaran serantau melalui rangka kerja seperti Komuniti Ekonomi ASEAN dan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), sidang kemuncak itu boleh memperkasakan perniagaan milik wanita.
“Saya berharap platform ini akan mencetuskan kerjasama, memastikan wanita mengetuai tanggungjawab dalam membina ekonomi ASEAN yang rancak dan inklusif di mana setiap wanita berkembang maju,” katanya.
.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
