Syarikat milik kerajaan, agensi awam bukan warisan parti politik - #RasuahBusters

SHAH ALAM - Syarikat milik kerajaan (SOE) dan agensi awam bukan warisan mana-mana parti politik dan tidak sepatutnya menjadi medan imbuhan jasa, tempat mengambil hati atau melunaskan dendam politik.
#RasuahBusters dalam satu kenyataan berkata, norma ganjaran politik menjadi ancaman serius kepada tadbir urus negara yang boleh membuka ruang kepada skandal kewangan seperti kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan merosakkan demokrasi serta prinsip meritokrasi.
“Kita ingin membina budaya politik yang matang. Kesanggupan berkorban dan menjalankan tanggungjawab adalah demi dan untuk rakyat bukan atas tiket parti.
“Harga untuk berada di kerusi kuasa adalah kecekapan, nilai wibawa diri dan tanggungjawab yang mampu dipikul dengan penuh amanah bukan kesetiaan kepada individu atau parti,” katanya.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dalam sesi penggulungan Kongres Nasional PKR menjelaskan bahawa lantikan politik oleh kerajaan yang mengangkat individu layak bukanlah satu bentuk penyalahgunaan kuasa.
Beliau yang juga Perdana Menteri menjelaskan bahawa perkara tersebut merupakan satu bentuk pengiktirafan atas sumbangan mereka terhadap kejayaan parti sehingga berjaya membentuk kerajaan.
Menurut #RasuahBusters, kenyataan Anwar bukan sahaja bertentangan dengan soal tatakelola tetapi krisis moral serius dan pengkhianatan kepada semangat reformasi yang dijanjikan.
“Sebuah kepimpinan tidak boleh menjadi alat politik. Ini adalah penafian hak kepada individu yang benar-benar layak berada di iposisi yang betul tetapi dihalang atas alasan kesetiaan.
“Ia membunuh integriti yang dibina di atas paksi keadilan dan mengundang keraguan terhadap komitmen kerajaan kepada prinsip governans yang dicalarkan oleh budaya patronage yang selama ini ditentang habis-habisan,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

