Lelaki melecur cuba padam api sebelum bomba tiba

PERAI - Seorang lelaki cedera ringan selepas cuba memadamkan kebakaran yang berlaku di sebuah rumah flat di Taman Pelangi di sini pada pagi Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.54 pagi itu, mangsa berusia 42 tahun mengalami melecur di bahagian jari selepas berusaha memadamkan api sebelum ketibaan pasukan bomba.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.54 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai digerakkan ke lokasi kejadian.
“Ketika pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 9.03 pagi, didapati kebakaran melibatkan sebuah unit rumah flat kelas A berkeluasan kira-kira 30 x 25 kaki persegi.
“Anggaran kemusnahan akibat kebakaran adalah sebanyak 20 peratus dan turut melibatkan beberapa perkakasan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, operasi pemadaman berjaya dikawal dalam tempoh dua minit sebelum api dipadamkan sepenuhnya pada jam 9.12 pagi, manakala kerja-kerja overhaul selesai pada jam 9.30 pagi.
“Mangsa diberikan rawatan awal oleh Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) di lokasi,” katanya.
Operasi tersebut diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan I, Nor Azli Md Hassan dengan kekuatan 11 anggota menggunakan dua jentera iaitu FRT dan EMRS. Tiada pemindahan penduduk atau mangsa lain dilaporkan.
Tambah beliau, punca kebakaran masih dalam siasatan yang dijalankan oleh Unit Penyiasatan Kebakaran (FIO) JBPM.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, sebuah stor yang dijadikan tempat sembahyang di Telok Wang, Bukit Mertajam musnah kira-kira 60 peratus dalam satu kebakaran yang berlaku pada pagi Rabu.
John Sagun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.41 pagi sebelum sepasukan anggota dari BBP Penanti digerakkan ke lokasi sejauh lapan kilometer.
“Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 8.48 pagi dan mendapati api sedang marak pada struktur bangunan kelas A bersaiz kira-kira 30 x 40 kaki persegi yang dijadikan tempat sembahyang.
“Pasukan bomba bertindak pantas menjalankan kerja-kerja pemadaman dan api berjaya dikawal pada jam 8.54 pagi. Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini,” katanya.
Beliau menambah, kerja-kerja overhaul dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca kebakaran tersembunyi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.05 pagi.
“Kes ini diserahkan kepada FIO JBPM untuk siasatan lanjut. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

