Lelaki cedera, rumah musnah dijilat api

LABUAN - Seorang lelaki cedera apabila rumahnya di Taman Rancha-Rancha Fasa 1 musnah dijilat api dalam kejadian awal pagi Jumaat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, Abdul Rahman Ali berkata, dalam kejadian kebakaran yang berlaku kira-kira 5 pagi itu, seorang penghuni rumah separuh kayu terbabit cedera di tangan dan kaki ketika cuba menyelamatkan harta benda.
"Bilik operasi jabatan menerima panggilan kecemasan pada 5.16 pagi dan beberapa jentera bersama 25 anggota tiba di lokasi kejadian 30 minit kemudian, namun api terlalu cepat merebak sehingga turut memusnahkan sebuah kereta Audi dan Suzuki Swift," katanya kepada Bernama pada Jumaat.
Abdul Rahman berkata, pasukan bomba berjaya mengawal api sejam kemudian dan dapat mengelakkan api daripada terus merebak memusnahkan kediaman lain di sekitar lokasi kejadian.
"Penghuni yang cedera diberi rawatan awal, keadaannya kekal stabil," katanya dan menambah punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
