Dua anggota bomba terkena renjatan elektrik ketika padam api

PUTATAN - Dua anggota bomba terkena renjatan elektrik ketika melakukan operasi memadam kebakaran di bangunan rumah kedai di Jalan Pantai Berahi, Petagas, dekat sini pada malam Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, Pegawai Bomba, Amran Amir, 34, di hantar ke Sharif Faizul Hospital Queen Elizabeth manakala Pegawai Bomba Kanan II, Sharif Faizul, 38, diberi rawatan oleh Perkhidmatan Perubatan Perawatan Kecemasan (EMRS).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya sebelum itu menerima panggilan berhubung kejadian kebakaran pada jam 11.59 malam.
Menurutnya, seramai enam anggota dari BBP Putatan dibantu 23 anggota dari BBP Kota Kinabalu dan juga sembilan anggota BBP Penampang ke lokasi kejadian yang terletak sejauh tiga kilometer.
"Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah ditingkat atas bangunan kedai 4 tingkat yang terbakar 100 peratus dan pasukan bomba bertindak memadam kebakaran tersebut.
"Dalam operasi itu, terdapat dua anggota Bomba terkena renjatan elektrik sewaktu memadam kebakaran tersebut namun kedua-duanya stabil selepas masing-masing menerima rawatan di hospital dan EMRS di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya lagi, hasil pemeriksaan lanjut tiada mangsa orang awam dilaporkan terlibat.
"Operasi kemudian ditamatkan pada jam 1.40 pagi selepas keadaan dipastikan selamat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
