Lelaki cedera terkena tayar lori tercabut

YAN - Seorang lelaki mengalami kecederaan di bahagian kaki dan paha selepas terkena tayar lori yang tercabut dalam satu kejadian di Simpang Kuala Sungai Daun pada Isnin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Yan, Asisten Superintenden Musa Rabien berkata, bagaimanapun, lelaki berusia 45 tahun tersebut yang kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani berada dalam keadaan stabil.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 1 tengah hari semasa mangsa sedang berdiri di belakang kereta Proton Iswara miliknya yang diletakkan di bahu jalan.

“Sebuah lori jenis Hino yang membawa muatan sekam padi dari arah Batas Paip ke Yan secara tiba-tiba mengalami insiden tayar belakang sebelah kiri tercabut dan terus mengenai mangsa.
"Kerana jaraknya yang dekat, mangsa tidak sempat mengelak sebelum tayar tersebut mengenai kaki dan paha menyebabkan mangsa terjatuh," katanya pada Isnin.
Musa berkata, mangsa kemudian diberikan bantuan oleh pengguna jalan raya sebelum dihantar ke Hospital Yan untuk rawatan awal dan seterusnya dirujuk ke HSAH di Sungai Petani untuk pemeriksaan lanjut.
Menurutnya lagi, pemandu lori berusia 50 tahun tidak mengalami kecederaan dan telah ditahan untuk diambil keterangan.
Tambahnya, lori tersebut juga ditahan untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!