Malaysia tawar 65,000 kursus pembangunan kemahiran percuma kepada warga ASEAN

Steven (tengah) semasa pelancaran 'The ASEAN Human Capital Development Investment Symposium (AHCDIS)' di MITEC, Kuala Lumpur pada Selasa.
Steven (tengah) semasa pelancaran 'The ASEAN Human Capital Development Investment Symposium (AHCDIS)' di MITEC, Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Malaysia akan menawarkan sebanyak 65,000 kursus pembangunan kemahiran secara percuma sempena Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) yang dijadual berlangsung dari 14 hingga 21 Jun 2025.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, inisiatif tersebut melibatkan pelaburan Malaysia bernilai AS$600 juta (RM2.5 bilion) dan bakal memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya lima juta rakyat ASEAN.

Menurutnya, kursus tersebut merangkumi bidang seperti kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, teknologi hijau, kepimpinan dan lain-lain.

“Kursus ini juga akan disertai oleh penyedia latihan terkemuka dunia seperti Microsoft, Udemy, AwanTech dan Alibaba Cloud.

“Buat pertama kalinya, peluang latihan berkualiti tinggi ini akan diperluaskan ke luar sempadan negara untuk dinikmati rakan-rakan kita di seluruh ASEAN.

“Matlamat kami adalah untuk melatih sekurang-kurangnya lima juta rakyat ASEAN sepanjang minggu tersebut, dengan memberikan pendedahan kepada kursus latihan kemahiran berkualiti tinggi,” katanya ketika merasmikan program The ASEAN Human Capital Development Investment Symposium (AHCDIS) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada Selasa.

Turut hadir, Pengerusi Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Datuk Abu Huraira Abu Yazid.

Sebelum ini, NTW merupakan sebuah program kerjasama antara Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan HRD Corp dalam menghubungkan tenaga kerja dengan pemimpin industri, pendidik serta sumber berkaitan.

Inisiatif ini turut bertepatan dengan Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025 yang merupakan salah satu inisiatif utama di bawah kepengerusian Malaysia dalam ASEAN.

Artikel Berkaitan:

Pada April lalu, Malaysia secara rasmi telah melancarkan AYOS 2025, iaitu usaha pembangunan modal insan sepanjang tahun.

Program tersebut dilancarkan oleh Ketua Setiausaha Kesuma, Datuk Azman Mohd Yusof dan disaksikan oleh Pengerusi HRD Corp, Abu Huraira.

Dalam pada itu, Steven berkata, usaha tersebut merupakan pelaburan Malaysia dalam pembangunan modal insan serantau.

“Sekali lagi, aspirasi kami adalah untuk menjadikan ASEAN sebagai rantau paling berkemahiran tinggi di dunia melalui kerjasama yang lebih erat dan bermakna bersama negara-negara anggota lain.

“Saya amat berbesar hati dengan sokongan dan kerjasama daripada semua rakan kongsi, termasuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Sekretariat ASEAN, yang telah menyumbangkan kepakaran serta sumber amat bernilai dalam menjayakan AYOS 2025.

“Mudah-mudahan menjelang akhir tahun ini, kita dapat meraikan kejayaannya,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!