MBSA tawar parkir percuma kepada warga emas

MBSA memperkenalkan parkir percuma khusus kepada warga emas sempena sambutan Jubli Perak 25 Tahun PBT itu.
MBSA memperkenalkan parkir percuma khusus kepada warga emas sempena sambutan Jubli Perak 25 Tahun PBT itu.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memperkenalkan parkir percuma khusus kepada warga emas sempena sambutan Jubli Perak 25 Tahun pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Pengarah Korporat dan Perhubungan Awamnya, Mohd Fauzi Aziz Maamor berkata, inisiatif berkenaan merupakan langkah ke arah menjadikan Shah Alam sebuah bandar raya yang lebih inklusif dan menghargai jasa serta sumbangan golongan emas kepada komuniti.

“Warga emas yang layak perlu memenuhi beberapa syarat seperti berumur 60 tahun ke atas, merupakan pembayar cukai taksiran MBSA dan pemilik kenderaan berdaftar,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, setiap warga emas hanya layak mendaftarkan satu kenderaan untuk menikmati kemudahan tersebut.

"Permohonan sah selama dua tahun menerusi aplikasi Smart Selangor Parking atau Flexi Parking.

"Sehingga kini, sebanyak 628 permohonan telah diterima MBSA dan 449 daripadanya telah diluluskan," katanya.

Menurut data MBSA, seramai 117,202 warga emas yang berumur 60 tahun ke atas pernah membayar parkir di kawasan pentadbiran MBSA.

Katanya, menerusi Flexi Parking pula, sebanyak 37,817 pengguna warga emas dikenal pasti menggunakan aplikasi tersebut.

"MBSA berharap inisiatif itu akan menyumbang ke arah pembangunan bandar yang mesra warga emas dan mampan sejajar dengan matlamat pembangunan lestari (SDG 11)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Permohonan boleh dibuat dengan memuat turun borang melalui portal rasmi MBSA di www.mbsa.gov.my.

Borang yang lengkap boleh dihantar ke kaunter sementara MBSA di Bilik Perbincangan, Tingkat LG Wisma MBSA, Seksyen 14, Shah Alam dari jam 9 pagi hingga 4 petang pada hari bekerja atau dihantar melalui emel ke tlk@mbsa.gov.my.

Sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Seksyen Pengurusan Hasil MBSA di talian 03-55133919 sambungan 1540 atau 1521.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!