Pendidikan bukan sekadar ilmu, tetapi juga pembinaan akhlak

TULAR di media sosial satu rakaman video yang memaparkan seorang guru mengasari seorang murid sambil merakam tindakan tersebut di hadapan khalayak ramai di kantin sekolah.
Rakaman video berdurasi 2 minit 32 saat itu menunjukkan seorang murid menangis teresak-esak semasa memberi penjelasan kepada guru yang sedang memarahinya, dipercayai berlaku pada 14 April lalu.
Insiden berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi daripada masyarakat, termasuk kebimbangan terhadap tahap profesionalisme pendidik dan keselamatan pelajar di sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi peringatan kepada guru agar sentiasa menjaga integriti dan mematuhi etika di bawah Standard Guru Malaysia (SGM) 2.0 dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab masing-masing.
Menurut Fadhlina, kementeriannya sedang menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut dan beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk memberi tumpuan kepada isu itu supaya pihaknya dapat terus mengingatkan tentang integriti dan etika guru dari semasa ke semasa.
Tindakan sedemikian jelas bertentangan dengan etika perguruan serta melanggar garis panduan pengurusan disiplin murid yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Dalam hal mendidik dan membentuk sahsiah pelajar, pendekatan berhemah dan berasaskan kasih sayang perlu menjadi keutamaan.
Ramai berpendapat bahawa tindakan mengasari murid, lebih-lebih lagi apabila dirakam untuk tatapan umum, boleh mencetuskan trauma kepada mereka dan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang tidak selamat.
Bagaimanapun, insiden berkenaan seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak tentang pentingnya menjaga integriti profesion perguruan serta memelihara hak-hak dan kebajikan pelajar.
Pendidikan bukan hanya penyampaian ilmu, tetapi juga soal pembentukan akhlak dan penghormatan terhadap insan lain, khususnya mereka yang berada di bawah jagaan dan amanah kita.
Sekiranya barisan guru tidak menjadi teladan dalam membentuk akhlak terpuji murid, maka kepada siapa lagi kita mahu sandarkan harapan itu selain ibu bapa?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

