Diherdik guru di hadapan ramai, murid trauma ke sekolah

Video murid tahun tiga diherdik seorang guru tular di media sosial.
Video murid tahun tiga diherdik seorang guru tular di media sosial.
A
A
A

SHAH ALAM – Seorang murid perempuan kini trauma untuk hadir ke sekolah selepas didakwa diherdik oleh seorang guru di hadapan khalayak ramai dalam satu insiden yang dipercayai berlaku pada 14 April lalu.

Kejadian tersebut dikongsikan sendiri oleh ibu kepada kanak-kanak berusia sembilan tahun itu menerusi satu hantaran video berdurasi dua minit 31 saat di laman sosial miliknya.

Berdasarkan video yang dimuat naik, ibu kepada murid berkenaan turut berkongsi tangkap layar perbualannya dengan guru terbabit.

Menerusi perkongsian itu, wanita berkenaan menyatakan hasrat untuk bertemu dengan guru tersebut bagi menyelesaikan isu berbangkit secara baik.

Bagaimanapun, guru berkenaan dipercayai tidak mengendahkan permintaan tersebut, sebaliknya menghantar video dirinya bersama beberapa guru lain yang mengherdik serta memaksa kanak-kanak itu supaya bercakap jujur.

“Selepas ini, jangan buat lagi serta tuduh cikgu macam-macam tau, cikgu tak nak dengar dah. Awak tak nak sekolah, awak cakap dengan mak awak tapi jangan tuduh cikgu buat itu buat ini pada awak,” kata guru tersebut dalam video yang tular.

Difahamkan, video itu dihantar kepada ibu murid berkenaan sebagai bukti bahawa dakwaan yang dibuat oleh anaknya adalah tidak benar.

Menurut wanita tersebut lagi, beliau turut kesal dengan tindakan guru terbabit yang didakwa mengabaikan mesej yang dihantar, meskipun beliau cuba untuk berunding secara baik.

Video berkenaan kini tular di media sosial dan rata-rata pengguna mengecam tindakan ‘keras’ guru terbabit terhadap murid yang masih kecil.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!