Marah disembur pistol air, guru nyaris campak murid dari tingkap

BEIJING - Seorang guru di China berdepan kecaman hebat selepas didakwa menampar dan mengugut mahu mencampak muridnya keluar dari tingkap tingkat tiga bangunan sekolah gara-gara disembur pistol air.
Insiden membabitkan pelajar lelaki berusia 10 tahun dikenali sebagai Ranran dari wilayah Zhejiang, timur China, itu berlaku pada April lalu semasa waktu rehat.
Guru matematik berusia 59 tahun yang dikenali sebagai Lin dikatakan berang selepas Ranran bertindak menyembur pistol air ke arahnya kerana tidak menerima gula-gula sebagai ganjaran pada hari tersebut.
Difahamkan, Lin kemudian membawa murid itu ke sebuah pejabat untuk menegur perbuatannya.
Bagaimanapun, ketika melalui koridor bangunan, guru berkenaan dilihat menyeret murid itu ke arah tingkap dan membuat gaya seolah-olah mahu mencampaknya keluar.
Rakaman CCTV menunjukkan Ranran cuba meronta sebelum Lin melepaskannya, namun guru itu sempat menarik kolar bajunya sebelum berlalu pergi.
Bapa kepada Ranran, yang dikenali sebagai Chen, berkata beliau menyedari kesan lebam dan bengkak pada muka serta badan anaknya selepas pulang ke rumah.
“Anak saya beritahu dia ditampar beberapa kali. Saya bersemuka dengan Lin keesokan harinya, tetapi dia menafikan,” katanya.
Namun, beberapa rakan sekelas Ranran mengesahkan tindakan kasar guru tersebut.
Chen kemudian membuat laporan kepada pihak polis dan Biro Pendidikan tempatan.
Pada 18 Mei, pihak berkuasa mengesahkan Lin telah menggunakan hukuman tidak wajar yang mengancam keselamatan pelajar.
Susulan itu, guru berkenaan dikenakan teguran rasmi dan telah memohon maaf kepada Ranran serta keluarganya.
Dalam satu temu bual bersama media tempatan, Lin berkata beliau tidak pernah berniat untuk mencederakan pelajarnya.
“Saya sudah mengajar selama 40 tahun dan menganggap pelajar seperti anak sendiri. Saya tidak sangka perkara ini boleh berlaku,” katanya.
Undang-undang China melarang guru menggunakan hukuman fizikal atau sebarang tindakan yang menjatuhkan maruah pelajar.
Peguam menjelaskan tindakan Lin diklasifikasikan sebagai pelanggaran pentadbiran dan boleh membawa kepada hukuman tahanan lebih lima hari.
Chen berkata, kecederaan anaknya telah pulih, namun kini Ranran menjadi takut untuk ke sekolah dan trauma terhadap guru.
Insiden itu mencetuskan perdebatan hangat di media sosial China dengan lebih sembilan juta tontonan.
“Perbuatan guru itu terlalu keterlaluan. Sebagai pendidik, dia sepatutnya kawal emosi,” kata seorang pengguna.
Namun, ada juga yang menyalahkan pelajar. “Ranran kurang ajar. Ibu bapa juga kena didik anak hormati guru,” katanya. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
