Dr Norlela ganti Afif sebagai Exco Pulau Pinang

DR NORLELA
DR NORLELA
A
A
A

GEORGETOWN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr Norlela Ariffin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilantik sebagai Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan bagi menggantikan Dr Afif Bahardin yang meletak jawatan itu minggu lalu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, ADUN Penanti itu akan mengangkat sumpah pada 12 Mac ini di kediaman Yang Dipertua Negeri, Seri Mutiara di sini.

Menurutnya, kerajaan negeri menerima cadangan dari PKR Pulau Pinang itu selepas jawatan tersebut dikosongkan Afif.

Minggu lalu, Kerajaan Pulau Pinang mengesahkan Afif meletak jawatan sebagai Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan selepas Afif menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Kon Yeow sebelum Mesyuarat Exco Kerajaan Pulau Pinang pada jam 8.15 pagi, 4 Mac lalu.

Bagaimanapun, Afif hanya meletak jawatan sebagai Exco dan masih ADUN Seberang Jaya berikutan beliau masih ahli PKR.

Terdahulu, bekas Timbalan Ketua AMK itu menegaskan akan kekal dalam parti dan komited kepada Pakatan Harapan (PH) yang memenangi mandat untuk mentadbir Pulau Pinang pada pilihan raya umum.

Afif merupakan antara penyokong bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang pada minggu lalu terlibat dalam gerakan menumbangkan PH.

Dikenali sebagai Langkah Sheraton, Azmin dan 10 ahli Parlimen lain meninggalkan PKR untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), BN dan Pas menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional.

ARTIKEL BERKAITAN Pulau Pinang sahkan Afif letak jawatan Exco

Afif mengaku terima tekanan, desakan lepas jawatan

Artikel Berkaitan: