Saran tubuh jawatankuasa khas pantau MyKiosk 2.0

Projek MyKiosk 2.0. Gambar hiasan (Gambar kecil: Nor Halmey)
Projek MyKiosk 2.0. Gambar hiasan (Gambar kecil: Nor Halmey)
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan wujudnya unsur rasuah, penyelewengan dan ketidaktelusan dalam pelaksanaan projek MyKiosk 2.0 perlu ditangani dengan penuh cermat bagi mengembalikan keyakinan orang ramai.

Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Dr Nor Halmey Hamdah berkata, isu seperti lantikan kontraktor secara tidak telus, monopoli pembekal atau rundingan terus tanpa keperluan jelas boleh membuka ruang kepada salah guna kuasa.

Justeru kata beliau, Rasuah Busters mencadangkan supaya proses tender terbuka, audit bebas berkala, laporan awam mengenai kos dan status pelaksanaan dijadikan standard baharu.

Jelasnya, pendekatan terbaik buat masa ini adalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneruskan siasatan dan masyarakat juga perlu berhenti menyalahkan atau mensensasikan isu.

“Krisis kepercayaan ini sepatutnya tidak mematikan usaha baik kerajaan, sebaliknya dijadikan peluang untuk memulihkan sistem penyampaian digital negara agar lebih cekap, bersih dan adil.

“Rasuah Busters turut menyarankan agar kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas pemantauan MyKiosk 2.0 yang merangkumi wakil kerajaan, pakar teknologi, badan pemantau bebas serta suara pengguna.

“Aspek kualiti kiosk mesti jadi keutamaan. Tidak memadai hanya wujud secara fizikal, tetapi perlu diuji dari segi ketahanan, keselamatan data, keserasian teknologi dan kemudahan mesra pengguna. Jika tidak menepati piawaian ditetapkan, nilai semula kontrak yang diberi, tarik balik atau ganti rugi,“ katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan menerima beberapa dokumen daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkaitan projek MyKiosk.

Tambahnya, sebelum ini SPRM tidak menerima laporan khusus berkaitan dokumen, keterangan dan sebagainya melainkan maklumat daripada media sosial.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya memberi jaminan bakal menyiasat isu terbabit sekiranya benar wujud elemen rasuah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!