Beban pada PKS, BRO gesa penangguhan duti setem kontrak pekerjaan

Syed Naqiz
Syed Naqiz
A
A
A

SHAH ALAM – Bumiputera Retailers Organization (BRO) menggesa kerajaan menilai semula penguatkuasaan terhadap duti setem bagi kontrak pekerjaan yang dilaksanakan sejak 1 Januari lalu kerana langkah tersebut telah menambah beban kewangan dan pentadbiran kepada majikan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Presiden BRO, Datuk Syed Naqiz Shahabuddin Syed Abdul Jabbar berkata, pelaksanaan secara mendadak tanpa tempoh bertenang atau mekanisme pengampunan telah menimbulkan kekeliruan serta kesukaran operasi kepada pelbagai sektor industri walaupun Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memperkukuh pematuhan melalui Stamp Duty Audit Framework.

“Beban tambahan sebanyak RM10 bagi setiap kontrak dan penalti RM100 sekiranya gagal mematikan setem amat menekan PKS, terutama kepada syarikat dengan kadar perolehan pekerja yang tinggi.

“Ia bukan sekadar isu pematuhan, tetapi hal yang menjejaskan kelangsungan operasi,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa banyak syarikat dibebani keperluan untuk mengecop kontrak terdahulu yang belum dimatikan setem, termasuk kontrak pekerja sedia ada.

Malah menurutnya, keperluan retrospektif itu bukan sahaja menambah kos pentadbiran, tetapi juga tidak memberi manfaat praktikal kerana kebanyakan pertikaian pekerjaan bukan berpunca daripada isu pemeteraian setem, sebaliknya berkaitan gaji, pemecatan atau faedah.

“BRO juga menekankan bahawa pengecualian sedia ada bagi kontrak melibatkan gaji di bawah RM300 sebulan tidak lagi relevan memandangkan kadar gaji minimum semasa adalah RM1,700 sebulan dan dijangka akan terus meningkat.

“Justeru, BRO mencadangkan supaya diberi pengampunan sekali sahaja bagi semua dokumen terdahulu yang belum dimatikan setem, garis panduan pematuhan yang lebih jelas dan sektor spesifik, serta tempoh bertenang selama enam hingga 12 bulan sebelum penguatkuasaan penuh,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Syed Naqiz turut mencadangkan supaya LHDN mengadakan dialog dan kerjasama bersama pemain industri agar dasar berkenaan dapat dilaksanakan secara adil, seimbang dan praktikal.

Menurutnya, BRO akan kekal komited dalam memperjuangkan dasar yang menyokong persekitaran perniagaan yang kondusif dan mampan untuk majikan tempatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!