Bumiputera Sabah, Sarawak berhak nikmati manfaat ekonomi setara

PUTRAJAYA - Bumiputera Sabah dan Sarawak berhak menikmati peluang dan manfaat ekonomi yang setara dengan Semenanjung Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha untuk sama rata peluang ekonomi merupakan satu keperluan dalam memastikan keadilan dan keseimbangan pembangunan yang menyeluruh.
“Saya lihat Sabah, umpamanya memerlukan pemerhatian yang sangat mendalam daripada kita. Sarawak pula telah mengambil beberapa langkah proaktif menerusi pelaksanaan Majlis Ekonomi bumiputera Sarawak untuk menjayakan agenda yang telah digariskan.
“Biarpun masih banyak ruang untuk ditambah baik, kita mesti menyamaratakan peluang ekonomi ini, sama ada kepada bumiputera di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak,” katanya ketika berucap dalam sesi Pemukiman Setahun Selepas Kongres Ekonomi bumiputera di sini, pada Jumaat.
Ahmad Zahid berkata, pendekatan menyeluruh perlu diambil agar semua kaum bumiputera mendapat manfaat daripada dasar ekonomi negara, tanpa mengenepikan hak dan peluang kaum lain.
“Kita (Kerajaan Persekutuan) di sini membantu supaya agenda yang akan diterapkan Majlis bumiputera Sabah dapat dilaksanakan. Saya berjanji dengan diri saya bantu melaksanakan agenda bumiputera di Sabah.
“(Ini) Bukan hanya memberi pancing, tapi kita gali supaya lebih banyak kolam untuk bumiputera Sabah memancing,” ujarnya.
Tambah beliau, tuntutan memperkasa ekonomi bumiputera bukanlah satu bentuk diskriminasi, sebaliknya merupakan pelaksanaan hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kita tidak perlu bersikap apologetik dalam hal ini. Kita bukan menuntut sesuatu yang bukan hak, sebaliknya kita sedang melaksanakan hak yang telah diperuntukkan,” tegas beliau.
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid turut memuji pencapaian awal Sarawak dalam menggerakkan agenda pemerkasaan bumiputera, hasil pelaksanaan strategi yang lebih tersusun di peringkat negeri.
Katanya, pengalaman Sarawak wajar dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain agar pelaksanaan dasar berkaitan bumiputera dapat disesuaikan mengikut keperluan setempat.
“Penting untuk kita belajar daripada kejayaan awal ini dan memperkemas strategi agar tiada bumiputera yang tercicir daripada arus pembangunan,” ujarnya.
Sesi Pemukiman Setahun Selepas Kongres Ekonomi bumiputera merupakan platform penilaian terhadap kemajuan pelaksanaan resolusi yang dicapai dalam Kongres Ekonomi bumiputera sebelum ini, dengan tumpuan khusus kepada keberkesanan intervensi dasar dan program ekonomi untuk bumiputera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!