Rumah Mesra SMJ ukir senyuman rakyat Sabah

KEINGINAN rakyat Sabah khususnya golongan miskin untuk memiliki rumah pertama bakal direalisasikan kerana Kerajaan Sabah kini melancarkan inisiatif Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun ini.
Inisiatif tersebut merupakan buah tangan daripada parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sempena ulang tahun pembentukan kerajaan negeri pada 29 September 2022.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri GRS akan terus melipatgandakan usaha demi menjaga kebajikan rakyat dan kepentingan negeri di bawah bayu itu.
Menurutnya, selain memfokuskan sektor pertumbuhan utama dan pemulihan ekonomi menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya, keperluan mendapatkan rumah mampu milik juga penting kerana termasuk dalam teras kedua pelan pembangunan iaitu modal insan serta kemakmuran rakyat.
Memahami keluhan rakyat untuk memiliki rumah pada harga murah, pembinaan Rumah Mesra SMJ menggunakan konsep Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sepertimana kita sering lihat di bandar-bandar utama di Semenanjung Malaysia.
Tujuannya selari dengan pendekatan Rumah Mesra SMJ iaitu membasmi golongan miskin luar bandar dan memastikan golongan sasar berupaya menaik taraf kehidupan dengan memiliki rumah sendiri.
“Atas sebab itu, saya sering menekankan bahawa semua dasar dan program kerajaan yang sedang dirancang mestilah berorientasikan kemakmuran rakyat. Golongan miskin tidak boleh dipinggirkan,” kata Hajiji.
Difahamkan, pembinaan 70,000 rumah tersebut menggunakan geran khas Persekutuan sebanyak RM125.6 juta yang disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah dan bakal disempurnakan dalam masa terdekat.
Dalam masa sama, Hajiji menegaskan, peranan KPLB amat mustahak iaitu memastikan hanya golongan benar-benar layak menerima bantuan berkenaan.
Ia kerana dibimbangi ada tangan- tangan kotor yang cuba ‘menangguk di air keruh’ misalnya menyewakan Rumah Mesra SMJ pada harga tidak masuk akal sehingga membebankan kumpulan sasar.
Menerusi perkongsian di portal rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, rakyat berdaftar dengan sistem e-Kasih, rumah rosak akibat bencana alam atau golongan orang kurang upaya (OKU) antara kategori layak menerima bantuan rumah.
Memandangkan harga rumah semasa melambung tinggi dek upah kontraktor, kos bahan binaan dan lain-lain, langkah kerajaan negeri dalam memperkenalkan Rumah Mesra SMJ amat menggembirakan hati kumpulan di bawah garis kemiskinan.
Setakat 26 Januari lalu, sebanyak 4,482 Rumah Mesra SMJ selesai dibangunkan sejak Oktober 2024 dan 3,000 lagi dalam proses pembinaan.
Majoriti penerima rumah meluahkan rasa syukur kerana mereka yang pada mulanya sekadar menghuni teratak usang berlantaikan kayu, kini mampu menginap dalam rumah batu.
Bukan itu sahaja, penduduk yang selama ini mengeluh gara-gara perlu menadah air bersih menggunakan baldi setiap hari disebabkan tiada saliran paip tidak perlu bersusah payah lagi kerana Rumah Mesra SMJ lengkap sistem saliran, pembetungan efisien, malah bekalan elektrik.
Kemudahan asas disediakan cukup mengukir senyuman rakyat Sabah dan masing-masing terharu apabila sesuatu yang diimpikan dari generasi ke generasi akhirnya berubah menjadi kenyataan.
Tuntasnya, usaha kerajaan negeri di bawah pimpinan Hajiji jelas tidak membelakangkan rakyat, sebaliknya mahu penduduk miskin Sabah terus menikmati kemakmuran meskipun negeri berkenaan sentiasa dilabel mundur oleh sesetengah masyarakat.
Kebijaksanaan Hajiji dalam menerajui kerajaan negeri Sabah dan menambat hati orang ramai melalui inisiatif yang memanfaatkan rakyat wajar diberi pujian.
Selain itu, kredit turut diberi buat kementerian dan agensi pelaksana di bawah kerajaan negeri kerana telus dalam melaksanakan tugasan sekali gus memahami denyut nadi masyarakat Sabah.
*Aisyah Basaruddin ialah wartawan Meja Nasional Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!