Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah diganti versi baharu agar terus relevan – Hajiji

Hajiji ketika melancarkan Pesta Kaamatan 2025 di Dewan Terbuka Pisompuruan, Tambunan.
Hajiji ketika melancarkan Pesta Kaamatan 2025 di Dewan Terbuka Pisompuruan, Tambunan.
A
A
A

TAMBUNAN - Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah 1992 akan digantikan dengan versi baharu bagi memperkemas struktur Mahkamah Anak Negeri dan seterusnya memperkasa institusi tersebut.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, langkah itu diambil bagi memastikan Mahkamah Anak Negeri kekal berkesan dan relevan.

Menurutnya, Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah telah menyediakan draf enakmen baharu, iaitu Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah 2025, yang kini sedang diteliti oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

“Draf ini memerlukan ulasan daripada Pejabat Peguam Besar Negeri, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri dan Kementerian Kewangan sebelum diangkat kepada Jemaah Menteri dan seterusnya dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ini adalah salah satu daripada banyak inisiatif yang dilaksanakan kerajaan untuk memberi manfaat kepada rakyat di peringkat akar umbi,” katanya semasa pelancaran Pesta Kaamatan 2025 di Dewan Terbuka Pisompuruan, di sini, pada Khamis.

Bercakap mengenai sambutan Kaamatan, Hajiji berkata, pesta itu adalah antara acara penting bagi rakyat Sabah yang bukan sahaja bertujuan mengeratkan silaturahim dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama, malah juga sebagai tanda kesyukuran atas hasil tuaian yang baik.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri melalui Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) terus komited dalam usaha meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) hasil pertanian bagi memperkukuh keterjaminan makanan di Sabah.

Hajiji berkata, kerajaan negeri juga memutuskan untuk menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) tahun lalu dan kini sedang giat membangunkan kira-kira 22,146 hektar sawah padi terbiar di daerah Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu, Keningau, Papar dan Tambunan.

“Sudah pasti ini akan membantu usaha MAFFI untuk meningkatkan SSL makanan Sabah kepada sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang 2026 dan 60 peratus menjelang 2030,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas program Revolusi Ekonomi Pertanian Luar Bandar (REPLB) yang dilancarkan pada Rabu, Ketua Menteri itu berkata, ia selari dengan semangat Pesta Kaamatan dan menandakan keprihatinan mendalam kerajaan negeri terhadap golongan berpendapatan rendah, khususnya miskin dan miskin tegar di kawasan luar bandar.

“Program ini dilancarkan sebagai langkah strategik untuk melonjakkan pengeluaran hasil pertanian demi memacu pertumbuhan ekonomi petani sara diri.

“Ia bukan sahaja bertujuan meningkatkan hasil pertanian dan keselamatan makanan di Sabah khususnya dan Malaysia amnya, malah merupakan usaha untuk memartabatkan ekonomi rakyat luar bandar, memperkasa petani, nelayan dan usahawan tani agar mereka dapat berdikari, berinovasi dan menjana pendapatan yang mampan.

“Melalui penggunaan teknologi moden, sistem sokongan rantaian bekalan serta pembukaan peluang pasaran baharu, revolusi ini membuka jalan bagi komuniti luar bandar untuk bangkit sebagai pemain utama dalam ekonomi Sabah,” katanya.

Tambah Hajiji, pembangunan ekonomi luar bandar juga menjadi pemangkin kepada perpaduan dan kestabilan sosial.

“Apabila pendapatan meningkat, peluang pekerjaan diwujudkan dan golongan muda kembali ke kampung dengan ilmu serta harapan, maka komuniti akan menjadi lebih kukuh, bersatu dan sejahtera.

“Saya berharap program ini akan membantu komuniti petani, khususnya di luar bandar,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!