MyKiosk: MCA dakwa bukan tuduhan kosong, hasil tinjauan lapangan

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong mendakwa pendedahan MCA mengenai isu projek MyKiosk bukanlah tuduhan kosong sebaliknya hasil pemerhatian dan maklumat yang diperoleh daripada tinjauan lapangan serta semakan dokumen rasmi kerajaan.
Kata Choo Seong, reaksi beremosi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming semasa sidang media baru-baru ini tidak wajar kerana isu yang diketengahkan adalah masalah rakyat membabitkan kepentingan awam.
Katanya, banyak pihak melahirkan kebimbangan apabila banyak unit MyKiosk dikatakan terbengkalai dan kosong sekali gus berpotensi menjadi projek gajah putih.
"Kami di MCA turun padang dan bertemu dengan rakyat khususnya peniaga serta meneliti banyak aduan. Kami bukanlah jenis penghasut dan penfitnah seperti segelintir pemimpin politik yang ekstremis.
“Kami bertindak menggunakan akal, kajian dan penyelidikan serta turun padang, sebab itulah kami mempunyai maklumat sahih apabila orang ramai sendiri menyalurkan informasi kepada kami,” katanya di Facebook pada Khamis.
Program MyKiosk merupakan inisiatif kerajaan Persekutuan melalui KPKT yang menyasarkan membantu lebih 7,000 keluarga meningkatkan pendapatan.
Namun, Choo Seong mendakwa, daripada 414 unit MyKiosk yang disediakan di Negeri Sembilan sepanjang 2023 dan 2024, hanya 250 telah diisi setakat ini manakala selebihnya masih kosong.
Lebih membimbangkan, katanya, kos pembinaan purata satu unit MyKiosk yang direkodkan dalam dokumen tender bertarikh 28 Ogos 2023 mencecah RM20,895.55 iaitu melebihi harga siling RM15,000 ditetapkan oleh KPKT.
“Ke mana pergi duit rakyat RM5,895.55 untuk 1 unit kios? Bagaimana kalau 10 kios? Tidakkah ia mencecah jutaan ringgit duit rakyat?
“Kor Ming sendiri boleh semak, ada pihak yang boleh membuat kiosk sama tetapi dengan harga jauh lebih murah serendah RM12,800 seunit. Kenapa hendak beli harga mahal?” kataya.
Tambah beliau, tindakan Kor Ming menjemput Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, disifatkan sebagai angkuh serta boleh mengundang persepsi negatif terhadap SPRM sebagai badan bebas.
Menurutnya, seharusnya Kor Ming bertindak segera dengan hadir ke pejabat SRPM untuk membuat laporan sama seperti yang dilakukan oleh Pemuda dan Beliawanis MCA sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

