6,000 bakal jemaah haji Selangor terima insentif RM6 juta

Menteri Besar (duduk, tengah) bersama bakal jemaah haji pada Majlis penyerahan insentif Program Haji Muassasah 2025 bagi Parlimen Gombak di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Klang.
Menteri Besar (duduk, tengah) bersama bakal jemaah haji pada Majlis penyerahan insentif Program Haji Muassasah 2025 bagi Parlimen Gombak di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Klang.
A
A
A

HULU KELANG – Seramai 6,000 daripada 8,000 bakal jemaah haji dari Selangor yang diluluskan untuk menunaikan ibadah haji tahun ini menerima insentif sebanyak RM1,000 seorang menerusi program Insentif Haji Muassasah 2025.

Majlis penyerahan insentif bagi Parlimen Gombak disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Kelang di sini pada Selasa.

Amirudin berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada peruntukan RM6 juta yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dan Yayasan Menteri Besar Selangor (MBI), masing-masing menyumbang RM3 juta.

“Kita ada lebih kurang 6,000 jemaah yang menerima manfaat daripada program ini. Ia daripada 8,000 jemaah haji dari Selangor yang diluluskan untuk menunaikan haji tahun ini. Setiap seorang menerima RM1,000 sebagai bantuan kewangan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan insentif Program Haji Muassasah 2025 bagi Parlimen Gombak di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Kelang.

Amirudin (tengah) menyerahkan insentif Program Haji Muassasah 2025 bagi Parlimen Gombak di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Klang.
Amirudin (tengah) menyerahkan insentif Program Haji Muassasah 2025 bagi Parlimen Gombak di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Klang.

Tambah beliau, selain insentif tunai tersebut, Kerajaan Negeri turut menaja sepenuhnya 54 orang jemaah haji, jumlah yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

“Program ini telah bermula sejak 2015 dan tahun ini merupakan tahun ke-10 ia dilaksanakan. Tahun lepas kita naikkan jumlah bantuan kepada RM1,000 dan kita terus kekalkan nilai itu kerana kos semakin meningkat,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, jumlah jemaah yang ditaja sepenuhnya dijangka terus meningkat pada masa akan datang hasil kerjasama baik dengan Lembaga Tabung Haji, termasuk tawaran harga subsidi untuk kumpulan tajaan penuh Kerajaan Negeri.

Amirudin berkata, pelaksanaan program ini bukan sahaja meringankan beban kewangan bakal jemaah, malah mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan umat Islam terus terbela.

“Ibadah haji menuntut persediaan fizikal, mental dan kewangan yang rapi. Dengan adanya bantuan seperti ini, kita harap ia dapat memberi ketenangan kepada jemaah untuk menunaikan ibadah sebaik mungkin,” tambahnya.

MBI Selangor yang ditubuhkan sejak 1994 turut memainkan peranan penting dalam menyokong usaha pembangunan negeri serta pelaksanaan program tanggungjawab sosial demi kesejahteraan rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!