Naik harga tiket musim raya: 13 syarikat bas ekspres diarah beri maklum balas

SHAH ALAM - Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab (STS) dan mengarahkan 13 syarikat bas ekspres memberikan maklum balas berhubung kesalahan menaikkan harga tambang bas ekonomi sempena musim perayaan Aidilfitri 2025.
APAD dalam satu kenyataan berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak lima syarikat diberikan STS kedua, termasuk dipanggil ke Ibu Pejabat APAD untuk memberikan keterangan lanjut dan bukti tambahan.
Menurut kenyataan itu, pengeluaran STS berkenaan adalah hasil daripada pemantauan APAD terhadap kenaikan tambang bas ekspres yang melibatkan sebanyak 101 buah syarikat bas ekspres dan 371 kenderaan.
"Pemantauan tertumpu kepada lapan laluan utama yang merangkumi empat terminal iaitu Terminal Larkin, Terminal Bersepadu Selatan, Terminal Penang Sentral dan Terminal Kuala Terengganu bagi tempoh perjalanan bermula 15 Mac 2025 sehingga 6 April 2025.
"Berdasarkan keputusan Jawatankuasa Penggantungan dan Pembatalan Lesen (JPPL) APAD yang bersidang pada 15 Mei 2025, dua syarikat didapati menaikkan harga tambang bas ekspres menjelang musim perayaan.
"Kedua-dua syarikat ini telah dikenakan tindakan oleh pihak APAD. Sebuah syarikat diberikan notis amaran kerana bukti yang dikemukakan menunjukkan kenaikan harga tambang bersifat nominal, manakala sebuah lagi telah digantung operasinya selama 14 hari kerana gagal menjawab STS kedua," katanya pada Rabu.
Tambah kenyataan itu, selaras dengan Nilai Teras Malaysia Madani iaitu kesejahteraan dan kemampanan, APAD memfokuskan kepada keterhubungan mobiliti serta aksesibiliti rakyat menerusi jaringan pengangkutan awam yang berkualiti, selamat dan selesa.
Jelas APAD, pihaknya akan meneruskan pemantauan terhadap operasi syarikat bas ekspres dari semasa ke semasa, terutama pada musim perayaan, bagi mencegah sebarang kenaikan harga tambang melebihi kadar siling yang dibenarkan.
"Selain itu, APAD juga akan memantau tahap pematuhan syarikat bas ekspres terhadap keperluan perkhidmatan, termasuk Kod Amalan Industri (ICOP) Keselamatan.
"APAD tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas, termasuk menggantung Lesen Pengendali, sekiranya didapati melanggar syarat lesen," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

