Minyak masak terpakai jadi rezeki tambahan penduduk kampung

Cik Abzaizam (kanan) menuang minyak masak terpakai yang dijual oleh pelanggan.
Cik Abzaizam (kanan) menuang minyak masak terpakai yang dijual oleh pelanggan.
A
A
A

KOTA BHARU - Hasrat seorang pesara polis untuk menjana pendapatan melalui pembelian minyak masak terpakai kini mampu membantu ramai penduduk kampung menambah sumber kewangan mereka.

Usaha Cik Abzaizam Che Bongsu, 50, itu turut diakui pelanggan sebagai satu inisiatif yang dapat mengurangkan masalah kebersihan akibat pembuangan minyak terpakai di atas tanah, ke dalam parit atau saluran air.

Cik Abzaizam (kiri) melihat mesin penimbang minyak masak terpakai di pusat pengumpulan di Kampung Kubang Siput Limbat.
Cik Abzaizam (kiri) melihat mesin penimbang minyak masak terpakai di pusat pengumpulan di Kampung Kubang Siput Limbat.

Bapa kepada tiga anak berusia antara 16 hingga 24 tahun itu tidak menyangka bahawa ramai yang berminat menjual minyak masak terpakai kerana ia boleh menjadi sumber duit poket.

“Saya pernah dihubungi pelanggan yang mahu menjual minyak terpakai pada waktu malam kerana terdesak mencari duit saku untuk anak ke sekolah keesokan harinya," katanya ketika ditemui pada Rabu.

Saliza menunjukkan ruang dalam pusat pengumpulan minyak masak terpakai yang diusahakan bersama suami.
Saliza menunjukkan ruang dalam pusat pengumpulan minyak masak terpakai yang diusahakan bersama suami.

Menurutnya, semuanya bermula pada tahun 2017 selepas isterinya, Saliza Mohamed, 50, memperoleh maklumat ketika menghadiri kursus pelupusan sampah yang dianjurkan oleh sebuah syarikat pembersihan.

Cik Abzaizam memberitahu bahawa cubaan awalnya untuk mengumpul minyak masak terpakai daripada orang ramai membuahkan hasil apabila beliau berjaya mengutip sehingga 200 kilogram (kg) minyak dalam tempoh seminggu.

Artikel Berkaitan:

"Ketika itu juga, saya menerima maklum balas daripada pelanggan bahawa mereka berjaya mengurangkan masalah sinki tersumbat yang mengakibatkan sistem perparitan terganggu," katanya.

Tambahnya, selepas menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai, beliau memberanikan diri untuk mendaftar dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi membolehkan urusan dalam industri tersebut dijalankan secara lebih serius.

“Selepas beberapa tahun, kami mampu mengumpul antara satu hingga lima tan sehari melalui 10 ejen yang beroperasi di seluruh negeri Kelantan,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, tahap kesedaran masyarakat turut meningkat dan penduduk setempat tidak melepaskan peluang untuk menghantar sendiri minyak masak terpakai ke pusat pengumpulan yang dibuka tiga tahun lalu di Kampung Kubang Siput, Limbat.

“Mereka bukan sahaja sudah memahami kepentingan kelestarian alam tanpa pembuangan minyak masak terpakai, malah menyedari bahawa bahan itu boleh ‘ditukar’ kepada wang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!