Seleweng minyak masak, bekas pengarah syarikat didenda RM450,000

Azizul diiring pegawai KPDN ketika hadir ke mahkamah.
Azizul diiring pegawai KPDN ketika hadir ke mahkamah.
A
A
A

SEREMBAN - Bekas pengarah sebuah syarikat pemborong dan peruncit didenda RM450,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas tiga pertuduhan pindaan mengemukakan dokumen palsu dan memiliki barang kawalan minyak masak melebihi had dibenarkan, tiga tahun lalu.

Hakim, Mohamad Kamil Nizam menjatuhkan hukuman terbabit terhadap Azizul Abdul Halim, 56, selepas bapa kepada 10 anak itu kekal dengan pengakuan bersalah bagi kesemua pertuduhan yang dihadapi.

Pada 11 Disember 2024, orang kena saman (OKS) telah membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan bersama anak kepada bekas menteri yang juga pengarah syarikat sama iaitu Muhammad Faisal Hamzah, 39.

Bagaimanapun, Muhammad Faisal tidak mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mengikut dua pertuduhan, OKS sebagai pengarah syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd yang merupakan pemegang lesen borong barang kawalan berjadual iaitu minyak masak telah memberikan maklumat palsu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Maklumat itu diberi semasa mengemukakan maklumat dalam borang arahan mengemukakan dokumen atau maklumat yang berada dalam simpanan berkaitan barang kawalan di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 berhubung dokumen/ invois penjualan minyak masak kepada Pasar Segar Din Maju dan Warisan Hasil Alam.

Perbuatan berkenaan dilakukan pada 12 Ogos 2022, lebih kurang jam 5 petang di Pejabat KPDN Seremban 2.

Justeru itu, dia didakwa di bawah Seksyen 8 (4) (b) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 ( 2 ) akta sama.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, tertuduh selaku pemegang lesen borong juga telah didapati melanggar Peraturan 9 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki barang kawalan berjadual jenis minyak masak melebihi had 50 metrik tan.

Kesalahan itu dilakukan pada 11 Ogos 2022, jam 11.15 malam di premis perniagaan Rimba Merpati Sdn Bhd di Kawasan Industri Sinar Andalas, Senawang di Seremban.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Seksyen 22 (4) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Terdahulu peguam, Hasnan Hamzah berkata, OKS mempunyai dua isteri dan 10 anak serta enam daripadanya masih bersekolah.

"OKS tidak lagi bekerja, hanya kerja sambilan. Dia juga telah menyesal akan perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

"Jika dilihat, Azizul pada masa ini adalah rakan kongsi dan telah pun keluar daripada syarikat dengan menjual semua sahamnya. Dalam kes ini OKS hanyalah pemegang saham minoriti saja," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Alimah Mohd Sanusi memohon mahkamah mengenakan hukuman tinggi iaitu tidak kurang daripada RM200,000 bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira beberapa faktor.

"Impak perbuatan OKS telah berlaku ketirisan subsidi dan dana diperuntukkan untuk subsidi itu telah disalah guna yang menyebabkan kerajaan alami kerugian besar.

"Penyelewengan minyak masak subsidi semakin meningkat dari hari ke hari dan kesan langsung dari penyelewengan menyebabkan rakyat tidak berpeluang membeli minyak subsidi pada kuantiti sepatutnya," katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM150,000 dan jika gagal bayar enam bulan penjara bagi setiap pertuduhan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!