Pulau Pinang sedia pertimbang laksana larangan sepenuhnya penjualan vape

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang sedia mempertimbangkan pelaksanaan larangan sepenuhnya terhadap penjualan rokok elektronik atau vape sekiranya penguatkuasaan penuh Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) tidak membawa kesan positif.
Exco Kesihatan, Belia dan Sukan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, pertimbangan itu adalah untuk menjaga kesihatan rakyat, khususnya golongan belia.
“Akta 852 akan dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 Oktober tahun ini, jadi kita akan melihat keberkesanan mekanisme ini,” katanya ketika sesi penggulungan di Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini pada Rabu.
Daniel Gooi (DAP-Padang Lalang) berkata ketika ini pelaksanaan akta tersebut berada di fasa pendaftaran bagi produk vape atau rokok elektronik.
"Akta 852 adalah satu mekanisme untuk mengawal selia pembekalan, penjualan dan pendaftaran produk merokok termasuk vape, terutamanya melibatkan larangan penjualan peranti ini kepada golongan bawah umur, dan telah dikuatkuasakan secara berfasa bermula 1 Oktober tahun lepas," jelasnya.
Tambah beliau, kerajaan negeri menyokong sepenuhnya larangan penjualan vape kepada golongan bawah umur.
“Kerajaan negeri juga telah mengambil pendirian untuk tidak menggalakkan penjualan produk merokok, terutamanya rokok elektronik dan vape, selaras dengan usaha melindungi kesihatan awam,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri akan meneliti mekanisme penguatkuasaan di bawah akta tersebut dan merangka strategi untuk mengurangkan penggunaan vape di negeri ini.
“Perkara ini perlu ditangani secara strategik bagi memastikan isu pasaran gelap dan penyeludupan tidak timbul sebagai masalah susulan,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan akan menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bermula 1 Oktober 2024.
Akta itu merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan, dan larangan merokok di tempat awam.
Menurut KKM, peraturan dan perintah yang bakal dikuatkuasakan termasuk rokok elektronik.
Akta 852 diwartakan pada Februari lalu dan masih belum dikuatkuasakan sepenuhnya walaupun pada mulanya diumumkan akan dilaksanakan pada Jun dan kemudiannya ditangguhkan pada Ogos.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

