LIMA'25: Atasi kesan luar jangka kepada penduduk

LIMA'25 memasuki edisi ke-17 yang bermula pada Selasa, menghimpunkan 860 pempamer dari 24 negara terdiri daripada 426 syarikat antarabangsa dan 434 syarikat tempatan, bukan sekadar ekspo industri pertahanan, malah lambang keyakinan global terhadap Malaysia sebagai hab strategik serantau.
Juga lebih 110 aset pertahanan dipamerkan, mewakili kekuatan udara, maritim dan teknologi siber masa hadapan.
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sekali lagi menjadi tumpuan utama melalui demonstrasi kuasa udara yang penuh disiplin.
Demonstrasi udara yang rapi, berdisiplin dan penuh presisi ini bukan sekadar pertunjukan aerobatik. Ia cerminan kemampuan pertahanan negara yang harus dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia.
Namun, dalam keghairahan menyambut kehebatan ini, kita tidak boleh menutup mata terhadap kesan yang ditanggung oleh sebahagian penduduk tempatan.
Terdapat laporan bahawa beberapa rumah mengalami kerosakan, tingkap pecah, siling rosak dipercayai berpunca daripada gegaran kuat semasa latihan pesawat berlangsung.
Salah seorang mangsa mendakwa bumbung rumahnya sudah beberapa kali mengalami kerosakan kerana latihan LIMA'25 dan ini kali pertama dia membuat laporan polis kerana tidak tahu sama ada boleh menuntut kerugian atau tidak.
Bagaimanapun Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berjanji, pihaknya tidak akan mengambil ringan isu tersebut.
Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan (Mindef) turut memaklumkan akan menyiasat dakwaan tersebut.
Rakyat tidak menolak keperluan latihan atau pertunjukan ketenteraan. Mereka faham pentingnya LIMA'25 dalam aspek keselamatan, ekonomi dan diplomasi.
Tetapi dalam masa yang sama, keadilan kepada penduduk yang terkesan juga mesti diberikan tanpa berlengah.
Tidak dinafikan, dengan kehadiran puluhan ribu pengunjung tempatan dan antarabangsa, LIMA'25 bukan sahaja melonjakkan diplomasi dan keselamatan, tetapi turut menjana limpahan ekonomi yang besar kepada Langkawi dan negara.
LIMA'25 adalah simbol bahawa Malaysia bersedia memimpin masa hadapan dalam teknologi, keselamatan dan kerjasama global tapi apa yang berlaku di sebaliknya juga harus diselesaikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
