Tingkap pecah, siling rosak akibat gegaran latihan jet LIMA’25

LANGKAWI - Latihan pertunjukan udara sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) yang dijalankan sejak beberapa hari lalu didakwa telah mengakibatkan kerosakan kepada sekurang-kurangnya lima rumah penduduk di Kampung Padang Wahid di sini.
Antara kerosakan yang dilaporkan termasuk tingkap dan siling pecah, selain struktur rumah yang terjejas akibat gegaran kuat daripada pesawat pejuang yang menjalani sesi latihan sempena acara antarabangsa itu.
Pemilik rumah, Anis Amilia Abdullah, 32, berkata, kejadian tersebut berlaku ketika dia berada kira-kira 200 meter dari rumahnya untuk menyaksikan sesi latihan berkenaan.
“Bunyi letupan pada pagi Ahad itu jauh lebih kuat berbanding tahun-tahun sebelumnya. Bumbung rumah kami sudah banyak kali rosak setiap kali LIMA diadakan.
“Ini kali pertama kami buat laporan polis. Kami pun tidak pasti sama ada boleh tuntut kerugian atau tidak,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Siti Hazirah Che Hamat, 38, berkata, dia sedang berniaga di bawah khemah berhampiran rumahnya ketika terdengar dentuman kuat kira-kira jam 9 pagi.
“Saya terasa khemah terangkat sebelah, kemudian terdengar bunyi letupan dari cermin tingkap rumah jiran yang pecah.
“Rumah saya juga rosak, dua keping cermin tingkap meletup. Tapi rumah jiran lebih teruk kerana cerminnya habis pecah,” ujarnya.
Penduduk turut memaklumkan beberapa pegawai polis hadir ke lokasi kejadian bagi meninjau kerosakan dan meminta mangsa terjejas membuat laporan rasmi untuk tindakan lanjut.
Rakaman video berdurasi 56 saat serta gambar kerosakan rumah yang dialami penduduk tular di media sosial sejak Ahad, apabila penduduk meluahkan rasa bimbang terhadap impak latihan tersebut.
Antara yang dikongsi termasuk cermin tingkap pecah, siling rumah rosak dan retak, dipercayai berpunca daripada gegaran kuat semasa latihan pesawat berlangsung.
Menerusi video tersebut, pegawai bertugas turut dilaporkan menasihatkan penduduk untuk membuka tingkap rumah dan kereta semasa pertunjukan udara berlangsung bagi mengurangkan tekanan udara yang boleh menyebabkan kerosakan.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, memaklumkan bahawa pihaknya akan meneliti perkara tersebut dan tidak memandang ringan dakwaan kerosakan yang berlaku.
“Kita akan tengok dan tidak akan abaikan soal itu. Kita akan kaji perkara tersebut. Ada masanya memang akan ada pertunjukan dan sebagainya yang mungkin menyebabkan kesan sedikit,” katanya dalam sidang media selepas meninjau persiapan akhir LIMA’25 pada Isnin.
Kementerian Pertahanan turut menyediakan saluran aduan rasmi menerusi Sistem Aduan Integriti yang boleh diakses melalui laman web aduanintegriti.mod.gov.my.
LIMA’25 berlangsung dari 20 hingga 24 Mei dengan menghimpunkan pelbagai aset dan teknologi pertahanan dari dalam dan luar negara termasuk pertunjukan udara oleh pesawat tempur dan helikopter pelbagai kegunaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

