RM200 bilion dana negara lesap dalam dua dekad

Laporan Sinar Harian pada Selasa mengenai KKFP perkukuh usaha kesan aset negara hilang. Gambar kecil: Mohd Fairuz
Laporan Sinar Harian pada Selasa mengenai KKFP perkukuh usaha kesan aset negara hilang. Gambar kecil: Mohd Fairuz
A
A
A

SHAH ALAM - Negara dianggarkan telah kehilangan antara RM100 bilion hingga RM200 bilion dalam tempoh dua dekad lalu akibat ketirisan, pengubahan wang haram dan penipuan perdagangan antarabangsa.

Timbalan Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Dr Mohd Fairuz A Razak berkata, jumlah tersebut merupakan anggaran konservatif berdasarkan hasil laporan Global Financial Integrity (GFI) pada tahun 2015.

Ujarnya, menerusi laporan sama pada 2009, Malaysia juga pernah mencatatkan aliran keluar kewangan secara haram sebanyak RM150 bilion setahun, menjadikannya antara negara membangun paling terkesan akibat kebocoran dana.

“Dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sahaja, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan lebih 4.5 bilion dolar Amerika Syarikat (AS) iaitu sekitar RM20 bilion diselewengkan, melibatkan rangkaian syarikat luar pesisir dan individu berprofil tinggi.

“Ini tidak termasuk lagi kes lain yang masih disiasat secara tertutup atau tertangguh kerana kekangan kedaulatan undang-undang antarabangsa,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Kronologi kes berkaitan kecurian dan seleweng dana.
Kronologi kes berkaitan kecurian dan seleweng dana.

Sinar Harian pada Selasa melaoprkan, SPRM akan menggunakan Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) yang baru ditubuhkan sebagai senjata baharu untuk mendapatkan semula dana awam yang dicuri dan disembunyikan di luar negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, rangka kerja KKFP juga akan menggunakan strategi siasatan 1MDB dalam mendapatkan kembali dana yang diseleweng itu.

Mengulas lanjut, Mohd Fairuz berkata, struktur transaksi yang kompleks seperti penggunaan syarikat proksi dan akaun luar pesisir merupakan antara punca penyelewengan dana awam sering berlaku di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Struktur lain termasuk pemindahan rentas sempadan menerusi negara perlindungan cukai seperti British Virgin Islands, Cayman Islands dan Panama.

“Selain itu, ketirisan hasil dan tuntutan palsu melalui kontrak kerajaan, subsidi dan perolehan tanpa pengesahan silang,” ujarnya.

Tambahnya, meskipun Bank Negara Malaysia (BNM) memiliki sistem pemantauan seperti Laporan Transaksi Tunai (CTR) dan Laporan Transaksi Mencurigakan (STR), terdapat beberapa cabaran yang menyukarkan usaha pihak bank dalam menangani penyelewengan berkenaan.

"Antaranya kelewatan pelaporan dan audit sehingga menyebabkan aktiviti penipuan lambat dikesan selain kelemahan kerjasama rentas negara yang terhad kepada Memorandum Persefahaman (MoU) atau konvensyen antarabangsa tertentu.

Tambahnya, ketiadaan sistem jejak transaksi masa nyata dalam perolehan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut menjadi cabaran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!