Dari Pedang Besi ke Kenderaan Perang Gideon

No Image Caption
A
A
A

SEJAK tercetusnya perang genosid pada 7 Oktober 2023, konflik antara Israel dan Hamas telah memasuki tahap paling ganas dalam sejarah konflik Israel-Palestin moden.

Sepanjang tempoh lebih 19 bulan lalu, Israel telah melaksanakan kira-kira lima operasi ketenteraan utama ke atas Gaza yang melibatkan serangan udara bersasar, serangan darat berskala penuh dan pengepungan wilayah utama seperti Rafah dan Khan Yunis yang menjadi seperti penjara terbuka.

Kempen pencerobohan ganas itu telah mengorbankan lebih 53,000 penduduk Palestin dan sebahagian besarnya ialah wanita serta kanak-kanak. Selain itu, dua pertiga infrastruktur Gaza rosak atau binasa sepenuhnya dan lebih 1.9 juta penduduk terpaksa berpindah randah tanpa hala tuju.

Krisis kebuluran juga semakin serius terutamanya dalam kalangan warga emas, ibu hamil dan lebih 60,000 kanak-kanak dilaporkan mengalami malnutrisi akut. Berikut adalah lima peperangan utama yang dilancarkan Zionis ke atas Gaza.

------------

1. Operasi Pedang Besi (Iron Swords)

Dilancarkan pada 7 Oktober 2023

Tindak balas terhadap Operasi Taufan al-Aqsa dilancarkan oleh Hamas ke atas selatan Israel yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang selain lebih 250 menjadi tawanan di Gaza.

Israel melancarkan kempen serangan udara berskala besar ke seluruh wilayah itu tanpa menghiraukan kecaman komuniti antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Sekatan penuh terhadap bekalan air, makanan, elektrik dan bahan api turut dikenakan ke atas wilayah itu.

Operasi tersebut menjadi permulaan kepada perang genosid yang berterusan hingga kini.

2. Serangan Darat Utama

Bermula pada 27 Oktober 2023

Unit infantri Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menceroboh Gaza melalui darat buat pertama kali di bawah operasi berskala besar sejak peperangan terakhir pada 2014.

Tumpuan kempen ketenteraan itu adalah di kawasan utara Gaza khususnya Bandar Gaza dengan misi untuk memusnahkan terowong rahsia dan pusat perintah pejuang Hamas.

Pertempuran sengit itu berlarutan selama beberapa minggu sebelum gencatan senjata pertama berkuat kuasa pada 24 November tahun sama.

Ribuan penduduk Palestin dipaksa berpindah dan ratusan struktur musnah.

No Image Caption

3. Operasi diperhebat di utara dan tengah Gaza

Disember 2023 – Februari 2024

IDF memperluaskan operasi ke kawasan tengah Gaza seperti Nuseirat, Deir al-Balah dan Bureij. Serangan menyasarkan saki-baki anggota Hamas yang beroperasi di luar kawasan Bandar Gaza.

Infrastruktur awam termasuk hospital, sekolah dan kem pelarian turut dibedil.

Kempen pengeboman sengit itu menjadi titik tolak kepada malapetaka kemanusiaan yang terus mencengkam enklaf tersebut selama lebih 19 bulan.

No Image Caption

4. Serangan ke atas Rafah

Mei – Julai 2024

Bandar selatan Rafah menjadi sasaran utama kerana didakwa sebagai kubu terakhir Hamas dan tempat persembunyian pemimpin kanan pejuang bumi Gaza tersebut.

Ketika itu, kawasan tersebut menempatkan lebih 1.4 juta rakyat Palestin yang berpindah dari utara dan tengah Gaza setelah melarikan diri daripada hujan peluru di kawasan tersebut.

Serangan itu mencetuskan kecaman global kerana risiko pembunuhan beramai-ramai.

Pada mulanya, rejim Zionis turut membuka 'koridor kemanusiaan' yang membenarkan penduduk Gaza keluar dari Rafah sebelum memulakan serangan.

No Image Caption

5. Operasi Kenderaa Perang Gideon (Gideon’s Chariots)

Dilancarkan: Mei 2025

Merupakan operasi paling agresif dan sistematik yang dilancarkan Zionis di bawah pelan untuk 'menakluk' Gaza yang berdepan sekatan penghantaran bantuan kemanusiaan selama hampir tiga bulan.

IDF memberi alasan kempen pencerobohan terbaharu itu dilancarkan kerana kegagalan rundingan gencatan senjata setelah fasa pertama tempoh bertenang yang dipersetujui ketika rundingan damai sebelum ini berakhir pada awal Mac lalu.

Lebih 670 sasaran Hamas termasuk pelancar roket, depoh senjata dan terowong rahsia dibedil dalam tempoh beberapa hari.

Serangan tertumpu di Khan Yunis dan selatan Gaza setelah ribuan penduduk dipaksa berpindah lagi pada 16 Mei lalu.

Hujan peluru itu didakwa turut mengorbankan Mohammed Sinwar iaitu adik kepada pemimpin Hamas Yahya Sinwar.

No Image Caption

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!