Kolam terbiar ragut nyawa kanak-kanak sudah dikambus

SHAH ALAM – Kolam terbiar di Presint 17, Putrajaya yang meragut nyawa seorang kanak-kanak berusia 12 tahun pada 5 Mei lalu telah dikambus.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, kerja-kerja penutupan kolam berkenaan telah dilakukan oleh pihak berkuasa minggu lalu.
"Alhamdulillah, kolam tinggal yang sebelum ini menimbulkan kerisauan dan kebimbangan penduduk telah pun ditimbus sepenuhnya.
"Terima kasih kepada semua pihak yang telah bertindak pantas dan prihatin terhadap keselamatan penduduk," katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Selasa.
Terdahulu, media melaporkan mangsa ditemukan lemas oleh orang awam yang kebetulan melalui jalan tersebut pada petang Isnin.
Lokasi kolam terbiar itu berdekatan jejambat Presint 17 menghala Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Kasturi.
Pada masa sama, Mohd Radzi turut memohon agar pihak berkuasa tempatan mengadakan tinjauan secara menyeluruh ke atas semua kawasan kolam terbiar dan takungan di Putrajaya.
"Perkara itu penting bagi membolehkan pihak bertanggungjawab memeriksa tahap keselamatan dan mengenal pasti kawasan yang berisiko tinggi menjadi lokasi kemalangan, terutamanya kawasan yang terbuka dan tidak berpagar bagi mengelakkan insiden tidak diingini berulang lagi," katanya.
Mohd Radzi sebelum itu mengambil inisiatif turun ke lokasi kejadian susulan insiden kanak-kanak ditemui lemas untuk melihat sendiri keadaan di sana.
Katanya, tinjauan pada 6 Mei turut disertai wakil daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Perbadanan Putrajaya, serta wakil Surau PPAM Kasturi dan Surau Pudina Presint 17.
"Sejurus itu, saya meminta pihak berkaitan agar mengambil tindakan segera dengan menimbus kolam tinggal tersebut serta memagar kawasan terbiar berisiko kemalangan di Putrajaya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
