Rakyat disaran pilih lembu tempatan, elak seludup laksana ibadah korban

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan menyarankan rakyat yang ingin melakukan ibadah korban supaya memilih lembu tempatan berbanding yang diseludup menggunakan pangkalan haram bagi mengambil keberkatan serta mengelakkan sebarang penyakit penularan.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pemilihan haiwan korban itu seeloknya yang diternak di sekitar kawasan setempat kerana ia terjamin kualiti kesihatannya.
“Kalau boleh, kita utamakan lembu tempatan seperti Kedah, Kelantan, hibrid serta kacukan seperti Brahman dan sebagainya.
“Setakat ini, kami (kerajaan negeri) belum menerima sebarang data berkaitan penyakit jangkitan anthrax disebabkan oleh bakteria Bacillus anthracis yang boleh menjangkiti haiwan dan manusia, didakwa dibawa oleh lembu sehingga mengancam nyawa di Kelantan,” katanya semasa sidang akhbar selepas mesyuarat Exco di Kompleks Darulnaim di sini pada Selasa.
Menurut beliau, kejadian yang berlaku di negara jiran tidak menimbulkan sebarang ancaman kepada penduduk tempatan untuk makan daging.
Dalam perkembangan sama, Tuan Mohd Saripudin memberitahu bekalan lembu korban di Kelantan adalah mencukupi.
Ujarnya, sebagaimana tahun lepas, tiada isu berkaitan bekalan lembu kerana Kelantan berjiran dengan Thailand.
“Kemasukan lembu-lembu dari sana sedang berjalan sebagaimana biasa mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Maqis (Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia).
“Lembu yang dibawa masuk perlu melalui proses suntikan dan pendaftaran supaya bebas penyakit serta membolehkan ibadah korban berjalan dengan baik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!