Tiga bidang risiko tinggi fokus SPRM

SHAH ALAM – Tiga bidang utama berisiko tinggi menjadi tumpuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun ini, iaitu perolehan, penguatkuasaan dan rasuah berskala besar atau grand corruption.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan melipatgandakan komitmen dalam membanteras ketirisan perolehan kerajaan, memastikan agihan dana awam sampai kepada kumpulan sasar yang sebenar, serta membanteras kegiatan kartel projek.
Menurutnya, amat menyedihkan apabila terdapat peruntukan kerajaan yang bertujuan menjamin kelestarian penyampaian perkhidmatan kepada rakyat telah diseleweng.
“Sebagai contoh, penemuan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) saban tahun menunjukkan bagaimana kelemahan kawalan kewangan dalam agensi kerajaan telah menjadi pemangkin kepada ketirisan perbelanjaan kerajaan, pelaburan tidak berimpak dan pembayaran tanpa asas kontrak yang kukuh.
“Selain itu, penemuan siasatan SPRM turut membongkar beberapa taktik manipulasi akaun dan kewangan syarikat yang licik, yang malangnya terlepas daripada semakan firma pengauditan luar," katanya pada Selasa.
Beliau berkata, berdasarkan kes, perbuatan itu disahkan melalui semakan dalaman namun tidak dilaporkan kerana tiada keupayaan atau keberanian untuk bertindak.
Katanya, LKAN juga terus menjadi rujukan penting SPRM, dengan penglibatan aktif pihaknya dalam Jawatankuasa Tindakan Laporan Ketua Audit Negara (JTLKAN) serta mesyuarat bersama agensi penguat kuasa dan agensi pusat berkaitan.
Jelas Azam, fokus turut diberikan kepada projek-projek terbengkalai dan projek sakit yang memberi kesan besar kepada kewangan negara.
“Kita tidak boleh lagi melangkah dan bergerak secara terpisah, seolah-olah setiap agensi berlayar dalam kapal sendiri menuju destinasi yang kabur.
“Hanya apabila semua pelayar berkongsi peta, arah dan strategi yang sama, barulah misi dapat sampai ke pelabuhan dengan selamat," ujarnya.
Tegasnya, Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) ialah peta koordinasi tersebut yang menyatukan haluan dan memperkukuh pelayaran dalam menangani jenayah kewangan yang kian mencabar.
KKFP yang diterajui oleh tujuh agensi iaitu Jabatan Audit Negara (JAN), SPRM, Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA) berperanan sebagai platform kerjasama strategik rentas agensi dalam usaha membanteras jenayah penipuan perakaunan secara menyeluruh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
