[VIDEO] Drama tikam belakang karma buat Rafizi - Bekas SuPol Khalid Ibrahim

A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Setiausaha Politik kepada mantan Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim menyifatkan serangan dalaman terhadap calon jawatan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli umpama satu karma.

“Ini karma,” demikian kata ringkas Faekah Husin yang enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan Menteri Ekonomi itu.

Menurut Faekah, beliau sedang berusaha melupakan detik hitam yang pernah berlaku terhadap Khalid yang ditikam orang parti suatu ketika dahulu.

“Biarlah ia menjadi lipatan sejarah hitam yang saya sendiri berusaha untuk melupakannya.

“Kebanyakan cerita, memang telah diketahui ahli PKR dan rakyat Selangor,” katanya pada Isnin.

Ujar Faekah, sebagai ketua pasukan Khalid sama ada dalam gerakan politik mahupun strategi pentadbiran, beliau mengetahui perkara yang berkaitan.

“Saya hanya mahu beliau (Khalid) bersemadi dengan aman semoga ditempatkan bersama para solihin di taman-taman syurga,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Faekah (belakang, dua dari kiri) ketika menjadi Setiausaha Politik kepada Allahyarham Khalid (duduk kiri).
Faekah (belakang, dua dari kiri) ketika menjadi Setiausaha Politik kepada Allahyarham Khalid (duduk kiri).

Terdahulu, Rafizi yang juga penyandang Timbalan Presiden PKR membidas pihak tertentu dalam parti yang disifatkannya sebagai berpura-pura mahu berdamai selepas mencetuskan ketegangan dan menyerangnya secara senyap dari dalam.

Dalam ceramah jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Rakyat (HIRUK) di Ipoh, Perak pada Ahad, Menteri Ekonomi itu menyatakan rasa kesalnya terhadap budaya ‘tikam belakang’ yang berlaku menjelang Pemilihan PKR 2025.Bagaimanapun, beberapa pihak mengaitkan drama tikam belakang dalam parti itu juga pernah berlaku ke atas Khalid.

Khalid dipecat serta-merta daripada PKR pada 9 Ogos 2014. Pemecatan itu dikatakan berpunca daripada keengganannya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor, walaupun diarahkan oleh kepimpinan parti untuk memberi laluan kepada Presiden PKR ketika itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ia adalah sebagai sebahagian daripada strategi politik dikenali sebagai Langkah Kajang yang dikatakan merupakan antara strategi dikaitkan dengan Rafizi.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Guthrie Bhd itu dilantik sebagai Menteri Besar Selangor pada 13 Mac 2008 sebelum beliau menyembah mohon surat peletakan jawatan kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 26 Ogos 2014.

Bagaimanapun, pelan penuh risiko itu berakhir dengan Sultan Selangor menolak satu nama sahaja dicadangkan PKR iaitu Dr Wan Azizah sebelum Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai menteri besar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!