'Tikam belakang' Netanyahu

TEL AVIV - Kepimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berdepan kemelut selepas Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich mengugut untuk menjatuhkan pakatan beliau jika gagal menduduki Genting Gaza.
Ancaman itu dibuat menerusi wawancara bersama radio tentera selepas menteri ekstremis itu dengan lantang mencadangkan penubuhan kerajaan sementara di Gaza.
“Saya akan menggulingkan kerajaan jika tidak kembali berperang untuk merampas seluruh wilayah tersebut,” katanya ketika membantah perjanjian gencatan senjata Gaza yang berkuat kuasa pada Ahad.
Smotrich turut memperlekeh Menteri Perang, Herzi Halevi kerana didakwa mengatur strategi yang lemah dalam peperangan untuk menghapuskan pejuang Hamas.
“Jika saya Perdana Menteri, saya akan maklumkan kepada Ketua Turus tentang dasar yang saya mahukan. Jika gagal dilaksanakan, anda tidak layak menggalas tugas itu,” sindirnya.
Menteri haluan kanan itu juga sewenang-wenangnya menyatakan Israel akan mengambil alih pemberian bantuan kemanusiaan ke Gaza ketika usaha tersebut sedang dipergiatkan agensi antarabangsa.
Baru-baru ini, Smotrich pernah menentang perjanjian damai bersama Hamas yang didakwa 'berbahaya' kepada rejim Tel Aviv.
Difahamkan, beberapa menteri ekstremis lain dan Menteri Keselamatan, Itamar Ben-Gvir bertindak meletak jawatan daripada kerajaan gabungan Netanyahu kononnya sebagai tanda protes.
Mereka tetap berkeras dengan rancangan jahat untuk menguasai seluruh Genting Gaza dan meneruskan kempen pembersihan etnik.
“Perjanjian itu adalah satu bentuk 'penyerahan' kepada Hamas dan penolakan terhadap pencapaian Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sejak kempen pengeboman ke atas Gaza bermula pada 7 Oktober 2023,” katanya.
Keputusan pengunduran Ben-Gvir dan Smotrich yang mungkin akan mengikut jejak langkahnya bakal melemahkan kerajaan gabungan Netanyahu yang bergantung penuh kepada puak haluan kanan.
Menerusi rakaman dikongsi di platform X, Ben-Gvir yang pernah didakwa menyokong pertubuhan pengganas mengakui beliau bersama Smotrich menggunakan pengaruh politik mereka untuk menghalang perjanjian gencatan senjata itu, namun gagal. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!