Anak masih koma, ibu sedih wakil ambil ijazah di UiTM

Azizon sentiasa berbual dengan Angah walaupun anaknya masih dalam keadaan separuh koma.
Azizon sentiasa berbual dengan Angah walaupun anaknya masih dalam keadaan separuh koma.
A
A
A

KOTA BHARU – Ibu kepada penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang kini separuh koma sejak lebih dua tahun lalu akibat serangan radang otak, meluahkan rasa sedih kerana anaknya tidak dapat menerima sendiri ijazah sempena Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-101 pada Khamis ini.

Azizon Ab Hamid, 49, berkata, memang menjadi impian anaknya, Azreen Afiza Azahari, 25, yang menuntut di UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban 3, untuk menaiki pentas di UiTM Shah Alam bagi menerima segulung ijazah setelah tamat pengajian.

Menurutnya, beliau menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp pada 29 April lalu yang memaklumkan bahawa Azreen Afiza yang mesra dipanggil Angah berjaya menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran pada sesi petang konvokesyen tersebut.

Azizon melihat keadaan angah yang banyak mengalami perubahan positif
Azizon melihat keadaan angah yang banyak mengalami perubahan positif

“Saya akan mewakili Angah pada hari itu, tetapi alangkah indah jika dapat membawanya bersama naik ke pentas untuk menerima ijazah yang selama ini menjadi impiannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Panji, pada Isnin.

Bagaimanapun, Azizon berkata, beliau buntu mencari kenderaan yang sesuai untuk membawa anaknya itu ke Shah Alam, memandangkan kekangan kewangan serta keadaan anaknya yang sukar bergerak.

“Angah masih belum kuat untuk duduk sendiri di atas kerusi roda. Badannya masih lemah dan dia akan menggelongsor jatuh,” ujarnya.

Sebagai ibu, Azizon mengakui sudah cukup bersyukur kerana impian Angah untuk menggenggam segulung ijazah telah tercapai dan tidak sabar untuk menunjukkan ijazah tersebut kepadanya.

Artikel Berkaitan:

Ibu kepada lima orang anak itu turut sebak ketika berkongsi perkembangan positif yang ditunjukkan oleh anaknya, termasuk pertambahan berat badan dan keupayaan membuka mata.

Katanya, dalam tempoh dua tahun tiga bulan ini, beliau setia menemani anak perempuannya mendapatkan rawatan dan berjuang melawan kesakitan.

“Angah sudah beberapa kali keluar masuk Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II disebabkan komplikasi kesihatan.

“Dia juga pernah menjalani pembedahan dan kini minum melalui tiub di perut selepas jangkitan kuman di paru-paru menyebabkan tiub hidung tidak lagi sesuai,” katanya.

Azizon turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan doktor dan jururawat hospital yang sentiasa mengambil berat serta berbincang secara teliti mengenai keadaan anaknya.

Bagi memastikan pemantauan kesihatan yang berterusan, Azreen Afiza perlu menghadiri temu janji berkala dengan beberapa pakar, termasuk pakar neurologi.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Hari Raya Aidiladha tidak membawa sebarang makna buat pasangan Azizon dan suaminya, Azahari Mahmood, 51, setelah anak kedua mereka terlantar dalam keadaan separuh koma.

Pasangan itu reda dengan ketentuan ALLAH SWT selepas Azreen Afiza mengalami serangan radang otak yang berpunca daripada tekanan perasaan yang serius.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!