'Tak menyesal jadi usahawan roti'

KEPUTUSAN untuk tidak bekerja dalam bidang seni bina landskap yang dipelajarinya di universiti tidak pernah menjadi penyesalan buat Mohd Shahmiakmal Salehudin sebaliknya dia berasa bangga dapat meneruskan legasi perniagaan keluarga yang diasaskan ibu bapanya sejak lebih sedekad lalu.
Pemilik Kedai Roti Salynas berusia 36 tahun itu berkata, dia kini mengusahakan sepenuhnya perniagaan roti milik keluarga selepas mengambil alih tampuk pengurusan sejak tahun lalu, susulan pemergian ayah, Salehudin Shaari, 61, yang sebelum itu menerajui operasi selepas bersara.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Bina Landskap dari UiTM Shah Alam itu berkata, minat kepada bidang keusahawanan yang mendalam dan tanggungjawab terhadap keluarga mendorongnya untuk tidak berpaling ke belakang.
“Saya habis belajar terus bantu keluarga. Ayah ambil alih dari ibu lepas pencen, kemudian bila ayah meninggal, saya pula sambung.
“Saya bangga sebab masih guna resipi asal ibu, tapi dengan penambahbaikan dari segi tekstur dan ketahanan roti,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di premisnya di Taman Awana, Jalan Langgar di sini.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, ibunya, Nor Asmah Abd Rahman, 60, memulakan perniagaan roti dengan sebuah bengkel kecil di belakang rumah di Alor Senibong, Langgar pada tahun 2007.
“Kini Kedai Roti Salynas mampu menghasilkan 1,600 biji roti setiap hari, dengan perisa popular seperti planta, sekaya dan coklat yang dijual pada harga mampu milik, RM1 sebiji.
“Dulu masa mula-mula, ibu cuma mampu jual 50 biji roti sehari. Sekarang permintaan sangat tinggi, lebih-lebih lagi di kedai, sekitar 300 biji roti panas dari ketuhar sedia untuk pelanggan bermula jam 4.30 petang,” ujarnya.
Shahmiakmal berkata, sebagai pemilik dia juga memberi peluang kepada golongan kurang bernasib baik untuk menjana pendapatan bersamanya.

“Saya menggaji sembilan pekerja, antaranya golongan OKU, asnaf dan mereka yang tercicir pelajaran sebagai usaha memberi mereka kehidupan yang lebih baik,” kata beliau.
Jelasnya, berkat usaha gigih dan sokongan daripada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sejak tahun 2013, Shahmiakmal kini dalam perancangan untuk memperkasa perniagaannya ke tahap lebih tinggi.
“Tahun ini saya akan mohon persijilan MESTI dan Halal. KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) sudah datang buat lawatan dan beri panduan. Sekarang saya tengah tunggu kelulusan untuk geran menaik taraf kedai kepada sebuah bakeri penuh,” katanya yang mahu melihat jenama Salynas terus bertapak kukuh dalam pasaran tempatan,” ujarnya.

Menurutnya, dengan fokus utama pada pembekalan roti ke kilang, kantin pejabat kerajaan dan kedai makan sekitar Alor Setar, dia menyedari persaingan dengan jenama besar di pasaran terbuka.
“Bagi saya keunikan rasa asli dan sokongan pelanggan setia menjadi kekuatan utama perniagaan kami.
“Malah ia bukan sekadar teruskan perniagaan keluarga, saya nak jadikan Salynas simbol usaha gigih anak tempatan yang berjaya berdikari hasil resipi warisan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
