Anak seni dan pendidikan: Memecah stereotaip melalui ilmu

BERGELAR anak seni mungkin mudah tetapi menjadi anak seni yang berilmu itu memerlukan satu pengorbanan, namun pada masa sama ia perlu menjadi satu keperluan yang diutamakan.
Apatah lagi ketika ini, wujud segelintir selebriti atau pempengaruh secara terang-terangan mempersoal kepentingan pembelajaran di peringkat sekolah dan universiti dalam menjana pendapatan sebagai anak seni atau pencipta kandungan digital.
Terpanggil dengan perkara itu membuatkan penerbit, pengarah dan juga pelakon, Datuk Haris Embong, 47, membulatkan nekad untuk menyambung pelajaran di peringkat Doktor Falsafah (PhD), sekali gus membuktikan bahawa pendidikan tidak mengenal batas usia.
Tidak hanya sekadar berkata-kata, usahawan produk sejuk beku itu akan menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Utara Malaysia, Pusat Pengajian Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), satu langkah yang mencerminkan aspirasi peribadi dan memberi inspirasi kepada industri seni tanah air.
Bagi beliau, pengajian di peringkat PhD bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi satu langkah strategik untuk membawa industri kreatif dan seni Malaysia ke tahap lebih tinggi serta mengubah persepsi kebanyakan orang yang menyatakan anak seni hanya sekadar anak seni, tanpa ilmu yang boleh dibanggakan.

Beliau juga ingin buktikan anak seni perlu berilmu dan memartabatkan diri dengan ilmu sekali gus hapuskan stereotaip lapuk.
“Saya kecewa apabila ramai selebriti muda menolak pendidikan. Perlu diingat, tidak selamanya kita akan menjadi selebriti.
“Hidup ini seperti roda, ada kala di atas, ada kala di bawah. Sekurang-kurangnya dengan ilmu, apabila diri tidak lagi menjadi bualan di mulut peminat, boleh menceburkan diri dalam kerjaya lain.
“Justeru itu, walaupun sudah di usia ini, saya tetap mencari ilmu. Bukan sekadar ilmu seni tetapi juga mengenai pengurusan, pemasaran dan penjenamaan,” katanya.
Walaupun akan ada yang mempertikaikan keperluan anak seni mempunyai pendidikan tinggi, Haris berkata, pendidikan tinggi memberi kredibiliti kepada artis sebagai duta seni dan budaya Malaysia di peringkat antarabangsa.
"Artis yang berpendidikan tinggi sering diberi peluang untuk menyertai persidangan, festival dan pameran seni global. Ini membuka ruang untuk Malaysia dikenali sebagai hub seni bertaraf dunia.
"Pendidikan membantu artis memahami trend global dan teknologi terkini, menghasilkan karya seni yang mampu menyaingi produksi antarabangsa.
"Dengan lebih ramai artis berpendidikan tinggi, Malaysia dapat menunjukkan kepada dunia bahawa seni di negara ini bukan sekadar hiburan tetapi satu bentuk intelektualisme yang dihormati," jelasnya yang berharap jangan pernah terlupa impak pendidikan kepada industri seni Malaysia.
Beliau berkata, pendidikan membolehkan artis menghasilkan karya yang memenuhi citarasa antarabangsa sambil mengekalkan elemen budaya tempatan.
Filem dan drama Malaysia berpotensi untuk bersaing di platform seperti Festival Filem Cannes atau Oscars.
"Pendidikan tinggi dalam seni dapat melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berbakat tetapi juga berpengetahuan luas. Mereka ini mampu memperkasakan seni Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada naratif global," ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!