Nahas FRU: Pemandu lori akan dihantar ke Pusat Koreksional Batu Gajah

TELUK INTAN - [DIKEMAS KINI] Pemandu lori yang terlibat dengan nahas mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Selasa lalu, akan dihantar ke Pusat Koreksional Batu Gajah bagi menjalani reman penjara sekiranya tiada jaminan yang diterima oleh pihak mahkamah.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, tertuduh akan menjalani reman penjara sehingga kes disebut semula pada 17 Jun ini.
Menurutnya, setakat ini, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, masih berada di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.
"Difahamkan ada rakannya yang mahu membayar ikat jamin, mungkin esok (Isnin). Proses jamin dan urusan keluar masuk orang kena tuduh ini hanya boleh dilakukan pada hari bekerja," katanya pada Ahad.
Jumaat lalu, Rudi Zulkarnain mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU di Mahkamah Majistret Teluk Intan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu lori jenis Hino telah memandu dengan cara berbahaya hingga mengakibatkan kematian kepada S Perumal, 44: Mohd Roslan Abdul Rahim, 46; Mohd Pozli Jaudin, 41; Nurit Pandak, 34, dan Amiruddin Zabri, 38.
Turut terkorban, Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38; Muhamad Akmal Muhamad, 35; Damarrulan Abdul Latif, 33, dan Akmal Wafi Annuar, 28.
Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM6,000 bagi semua pertuduhan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!