Sultan Perak berkenan ziarah lima anggota FRU yang cedera

Sultan Nazrin berkenan melawat lima anggota FRU yang menerima rawatan di Hospital Teluk Intan pada Sabtu.
Sultan Nazrin berkenan melawat lima anggota FRU yang menerima rawatan di Hospital Teluk Intan pada Sabtu.
A
A
A

TELUK INTAN – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli berangkat menziarahi lima anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang cedera dalam nahas tragis pada Selasa lalu.

Baginda tiba di Hospital Teluk Intan sekitar jam 11 pagi pada Sabtu dan meluangkan masa kira-kira 40 minit menziarahi mangsa yang sedang menerima rawatan.

Ketibaan baginda diiringi Ahli Dewan Negara Perak, Tan Sri Mohd Annuar Zaini; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Feisul Idzwan Mustapha dan Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat.

Baginda melawat empat anggota yang masih dalam pemantauan rapi di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu Koperal Haslizal Mohd Ali, 44; Sarjan Mazlan Mat, 50; Koperal Mohd Izwan Ishak, 39; dan Sarjan Mohd Parih Ali, 44; serta Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zulkifli, 34, yang dirawat di wad surgikal.

Dalam lawatan itu, Sultan Nazrin sempat bertanya khabar kepada waris mangsa dan berkenan mengurniakan sumbangan peribadi sebagai tanda keprihatinan.

Sultan Nazrin meluangkan masa bertanya khabar kepada waris mangsa dan berkenan mengurniakan sumbangan peribadi dalam lawatan baginda ke Hospital Teluk Intan.
Sultan Nazrin meluangkan masa bertanya khabar kepada waris mangsa dan berkenan mengurniakan sumbangan peribadi dalam lawatan baginda ke Hospital Teluk Intan.

Terdahulu, dalam kejadian itu, sembilan anggota FRU meninggal dunia manakala sembilan lagi cedera termasuk beberapa parah apabila trak dinaiki bertembung lori muatan batu kerikil di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik.

Kenderaan tersebut dalam perjalanan pulang ke Markas FRU Unit 5 Sungai Senam, Ipoh bersama enam kenderaan FRU lain selepas selesai penugasan sempena perayaan Chitra Pournami di Hilir Perak.

Artikel Berkaitan:

Daripada sembilan mangsa yang cedera, tiga daripada mereka iaitu Koperal Nizam Tarmizi, 38; Lans Koperal Muhammad Aniq Taufiq Rozi, 26; dan Koperal Mohd Harrisul Ikhsan Mohd Mahabudin, 39 dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan.

Seorang lagi anggota, Koperal Syed Isfan Syed Mohammad, 39, pula masih dirawat di ICU Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!