Sungai Kayu Ara dipenuhi ikan bandaraya, lebih 2 tan ditangkap dalam 2 hari

SEREMBAN - Ekosistem Sungai Kampung Kayu Ara, Mambau di sini berada dalam keadaan membimbangkan apabila 94 peratus daripada sungai terbabit telah didominasi oleh ikan bandaraya atau nama saintifiknya Hypostomus plecostomus.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe berkata, dalam tempoh dua hari program memburu ikan tersebut diadakan, lebih 2 tan (2,000 kilogram) ikan itu berjaya ditangkap.
“Ini merupakan program kedua memburu ikan asing diadakan di sungai ini, yang mana kali pertama diadakan pada tahun lalu, sebanyak 1.1 tan (1,100 kilogram) ikan bandaraya berjaya ditangkap.
“Ini menunjukkan keadaan sungai ini agak kritikal dengan kehadiran ikan-ikan asing dan semestinya ia sangat membimbangkan sekiranya tiada tindakan diambil,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Inventori Perikanan Darat dan Memburu Ikan Asing Peringkat Negeri Sembilan di Sungai Kampung Kayu Ara, Mambau pada Ahad.
Bagaimanapun, katanya, sungai itu masih mempunyai harapan untuk diselamatkan kerana didapati beberapa spesies ikan asli telah muncul semula.
Jelas beliau, antara ikan asli yang dikesan termasuk ikan keli kayu, haruan dan selat.
“Jadi masih ada harapan dan potensi untuk membaik pulih ekosistem sungai ini.
“Oleh sebab itu, kita sangat mengharapkan sokongan penduduk setempat kerana mereka lebih mengetahui lokasi ikan-ikan ini berada,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya sedang mengenal pasti lokasi lain di daerah ini yang telah ‘dikuasai’ oleh spesies ikan berkenaan, antaranya Sungai Mambau dan Sungai Temiang.
Jelasnya, kehadiran ikan asing tersebut berbahaya kerana ia boleh menyebabkan ikan-ikan lain tidak dapat membiak malah akan dimakan sejak dari peringkat telur lagi.
Selain itu, kata Kasim, ikan tersebut turut merosakkan tebing sungai kerana ia membuat lubang dan bertelur di dinding sungai.
“Kalau kita tengok di tebing Sungai Kayu Ara ini terdapat banyak lubang tempat ikan ini bertelur, dan ia boleh menyebabkan tebing sungai runtuh.
“Secara mitosnya, ikan tersebut dipelihara untuk membersihkan lumut di dinding akuarium, namun biasanya apabila besar ia dilepaskan ke sungai dan kemudiannya membiak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga telah berbincang dengan kerajaan negeri untuk menawarkan insentif kepada mereka yang berjaya menangkap ikan tersebut, sebagaimana yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

