Nurin Hanani ditemui dalam keadaan selamat di Tokyo

SHAH ALAM - Penuntut Malaysia yang dilaporkan hilang di Kure Kosen, Hiroshima, Jepun sejak Isnin lalu, Nurin Hannani Mohd Hafizi selamat ditemui di Tokyo pada petang Khamis.
Ibu kepada Nurin Hannani, Noor Afzan Abdul Razak berkata, dia berasa lega selepas menerima panggilan mengenai penemuan anaknya daripada pihak Kedutaan Malaysia di Jepun sekitar jam 3.15 petang.
Ujarnya, pihak berkenaan juga sedang menguruskan urusan Nurin Hanani termasuk membawanya ke balai polis untuk memaklumkan penemuan penuntut itu.
"Mimpi ngeri saya berakhir dan hanya ucapan syukur mampu lafazkan bila dapat panggilan telefon daripada pegawai Kedutaan Malaysia di Jepun memaklumkan anak yang hilang sejak empat hari lalu ditemui selamat di Tokyo petang tadi.
“Nurin Hannani dikatakan ditemui dalam keadaan keliru tetapi tidak tahu di mana dan siapa yang menemui anak sulung saya itu.
“Setakat ini, saya belum lagi bercakap dengannya. Biarlah dia bertenang dulu dan saya serahkan kepada kedutaan menguruskannya sementara menunggu kami ke sana dalam tempoh dua tiga hari lagi,” katanya kepada sebuah media tempatan pada Khamis.
Sebelum ini media melaporkan, Nurin Hannani yang sedang melanjutkan pelajaran di bawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sebuah institut pengajian tinggi di Kure Kosen, Hiroshima, Jepun dilaporkan hilang sejak 27 Januari lalu.
Pelajar wanita berusia 21 tahun itu dilaporkan tidak dapat dihubungi selepas meninggalkan kampus pada tengah hari pada Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

