Sultan Pahang, Tengku Ampuan zahir ucapan Selamat Hari Guru

Ucapan 'Selamat Hari Guru' buat warga pendidik dari baginda berdua yang dikongsi melalui Fecebook Kesultanan Pahang.
Ucapan 'Selamat Hari Guru' buat warga pendidik dari baginda berdua yang dikongsi melalui Fecebook Kesultanan Pahang.
A
A
A

KUANTAN- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan 'Selamat Hari Guru' buat seluruh warga pendidik di negara ini termasuk di Pahang.

Baginda berdua mendoakan agar semua warga pendidik terus dikurniakan kesihatan, kekuatan dan keberkatan dalam meneruskan amanah itu.

"Sesungguhnya, jasa seorang guru kekal abadi dalam lipatan sejarah bangsa," titah baginda melalui hantaran di Facebook Kesultanan Pahang.

Bagi baginda berdua, guru adalah obor ilmu yang menerangi jalan generasi pewaris bangsa.

" Segala jasa, pengorbanan dan iltizam yang dicurahkan oleh para guru dalam mendidik anak bangsa amatlah disanjung tinggi dan dihargai.

"Tanpa guru, tiadalah kejayaan dan kemajuan yang dapat dikecapi oleh negara," titah baginda melalui hantaran itu.

Sementara itu, jasa dan pengorbanan guru di negara ini dalam mendidik anak bangsa amat dihargai Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Melalui hantaran di Facebook, Wan Rosdy menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga buat semua guru-guru di Malaysia khasnya di Pahang atas pengorbanan dalam mendidik anak bangsa menjadi insan yang berjaya.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, guru bukan sekadar pengajar, tetapi ejen transformasi melahirkan generasi berpengetahuan, berakhlak mulia serta berdaya saing.

"Dalam era digital kini, guru-guru telah membuktikan kesanggupan beradaptasi dengan teknologi, terus kreatif dalam pedagogi dan tetap teguh sebagai contoh kepada anak pelajar," katanya.

Beliau mendoakan semoga para guru sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan dilimpah kurnia rahmat oleh Allah SWT.

"Selamat Hari Guru 2025," ucapnya.

Tarikh 16 Mei setiap tahun dipilih sebagai hari istimewa untuk merayakan dan menghargai jasa serta pengorbanan guru di seluruh negara.

Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan disambut di Kuching, Sarawak bermula 14 hingga 16 Mei bertemakan 'Guru Pemacu Reformasi Pendidikan', selaras dengan aspirasi negara dalam melahirkan sistem pendidikan yang progresif dan inklusif.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!