Pelanggan kafe terkejut, nasi ayam dan mi kari masih dijual RM2

KOTA BHARU – Kenaikan harga bahan mentah tidak menghalang seorang pemilik kafe di sini untuk terus menawarkan 10 menu makanan dengan harga serendah RM2 sejak lima tahun lalu.
Norzuliana Zakaria, 41, pemilik Zuha Cafe House yang terletak di Kampung Serdang Muda, Pak Badol berkata, walaupun keuntungan tidak besar, beliau masih memperoleh pulangan memuaskan hasil jualan ratusan mangkuk setiap hari.

“Alhamdulillah, sehingga kini ramai pelanggan masih terkejut apabila melihat harga menu. Nasi ayam, laksa lemak, laksam, laksa pinang, mi kari, mi dan nasi air, bihun, kuetiau celup serta sagu gula melaka dijual hanya RM2 semangkuk.
“Untuk menu celup, saya gunakan daging lembu. Walaupun margin keuntungannya kecil, hasil jualan yang tinggi membolehkan saya mengekalkan harga itu,” katanya kepada Sinar Harian, Jumaat.

Menurut ibu kepada enam orang anak itu, beliau menerima sekitar 200 pelanggan setiap hari dan jumlah itu meningkat sehingga tiga kali ganda pada hujung minggu serta cuti umum.
Bekas guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) itu berkata, kafenya turut menawarkan masakan panas seperti mi segera, mi, bihun, kuetiau serta nasi goreng biasa dan kampung pada harga RM5 sepinggan.

Selain itu, turut ditawarkan ialah set nasi budu untuk dua orang pada harga RM19.90 yang mengandungi dua nasi putih, ulam-ulaman, budu, ikan singgang, telur dadar, daging goreng dan teh o ais.
Bagaimanapun, Norzuliana memaklumkan bahawa harga teh o ais dan sirap yang sebelum ini dijual pada harga 50 sen, dinaikkan kepada RM1 bermula Jumaat.
“Idea untuk membuka kafe ini tercetus pada November 2020 apabila saya yang ketika itu bekerja sebagai guru KAFA dan suami, Mohd Aminul Hafidz, 38, seorang anggota polis di Negeri Sembilan, memilih untuk berhenti kerja dan pulang ke kampung bagi menjaga ibu,” katanya.
Pasangan itu kemudian mengambil keputusan menceburi perniagaan makanan dengan konsep ala ‘boat noodle’.
Kafe tersebut beroperasi bersebelahan rumah ibunya, Rahmah Sahak, 65, yang turut membantu dalam penyediaan masakan.
“Jika dulu hanya ada tiga orang pekerja, kini kami menggaji tujuh orang dengan bayaran harian antara RM35 hingga RM60 bergantung kepada keuntungan harian. Kafe ini hanya ditutup pada hari Isnin,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!