Kesenjangan akses pendidikan pelajar semakin meluas - Dr Zaliha

PUTRAJAYA - Kesenjangan antara pelajar sekolah yang berpeluang mendapatkan akses pendidikan dan tercicir semakin meluas dalam suasana ekonomi semakin mencabar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata, cabaran sosioekonomi terutama dalam kalangan keluarga B40 telah menyebabkan banyak pelajar terpaksa mengorbankan masa belajar demi membantu keluarga.
"Dalam dunia yang berubah dengan pantas ini, kesenjangan semakin meluas. Kita tidak punya pilihan selain memperkenalkan dan meneruskan intervensi yang tepat serta menyentuh akar masalah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Tuition Misson Putrajaya 2025 di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, antara petunjuk membimbangkan ialah lebih 10,000 pelajar tidak hadir menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2023, dan sebahagian besarnya berpunca daripada tekanan ekonomi keluarga.
Menurut Dr Zaliha, ada kalangan pelajar yang terpaksa menjadi penghantar makanan selepas waktu sekolah bagi menampung perbelanjaan harian keluarga, sekali gus menjejaskan persediaan mereka menghadapi peperiksaan.
"Ini bukan soal pelajar tidak mahu belajar. Mereka sebenarnya ada potensi, cuma tidak diberi ruang mencukupi kerana kekangan hidup. Kita tidak boleh menutup mata terhadap inferens seperti ini. Kalau diteliti, ada ketersalinghubungan antara kemiskinan dan keciciran pendidikan,” katanya.
Dr Zaliha hari ini merasmikan Program Tuition Mission Putrajaya 2025, satu daripada intervensi melalui Program Usaha Jaya Insan (PUJI) bagi menangani keciciran pelajar sekolah, melibatkan peruntukan RM120,000 bagi membiayai penyediaan modul, seminar, motivasi dan keurusetiaan program tuisyen bagi 100 pelajar terpilih dari sekolah di Putrajaya.
Terdahulu, Dr Zaliha dalam ucapannya berkata, program intervensi sedemikian merupakan pelaburan jangka panjang oleh kerajaan demi melahirkan generasi pelajar yang mampu memecahkan struktur sosial keluarga mereka untuk keluar dari kepompongan dan beban kemiskinan.
"Saya berpandangan, ada keperluan untuk program ini diperluaskan lagi pelaksanaannya, dengan penglibatan lebih ramai anak yang memerlukan," katanya.
Justeru, beliau telah mengarahkan Jabatan Wilayah Persekutuan untuk meneliti dan berbincang dengan Kementerian Pendidikan berhubung perluasan program tersebut di Kuala Lumpur dan Labuan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
