Pelajar sekolah asrama penuh dakwa dibuli senior

IPOH - Sekumpulan pelajar Tingkatan Dua dan Tingkatan Tiga sebuah sekolah berasrama penuh di Teluk Intan mendakwa menjadi mangsa buli oleh beberapa pelajar senior dalam satu kejadian pada Sabtu lalu.
Sinar Harian dimaklumkan bahawa kumpulan pelajar ini telah dipaksa melakukan tekan tubi sebanyak 200 kali ketika berkumpul di surau sekolah berkenaan.
Menurut sumber, kejadian itu berlaku dalam keadaan samar-samar kerana hanya lampu di bahagian mimbar sahaja yang dihidupkan.
"Mangsa berusia 14 dan 15 tahun dipanggil ke surau, manakala pelajar Tingkatan Satu, Empat, dan Lima tiada di lokasi. Setibanya di sana, mereka diarahkan melakukan tekan tubi, tetapi hanya mampu melakukannya sekitar 80 kali sahaja.
"Difahamkan, ada antara mereka yang turut dipukul sehingga tidak dapat mengangkat tangan. Malah, tangan mereka kelihatan menggigil ketika mandi," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Katanya lagi, kejadian itu hanya disedari ibu bapa dua atau tiga hari kemudian selepas anak mereka mengadu sakit tangan, sebelum dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Difahamkan, pihak sekolah akan memanggil keluarga semua pelajar yang terlibat dalam insiden berkenaan pada Jumaat.
Menurut sumber, sebanyak enam laporan polis telah dibuat oleh keluarga mangsa pada Rabu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintenden Mohammad Ali Mohd Jali ketika dihubungi mengesahkan siasatan sedang dijalankan.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Pendidikan Negeri, Safuan Raba’ai memaklumkan pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa tiada kenyataan boleh dikeluarkan kerana sekolah berkenaan berada di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!