Kereta bersih, jalan kotor – Siapa ajar perangai begini?

MERAK Jalanan tak faham satu benda ni – kenapa ramai sangat sayang kereta sendiri tapi benci kebersihan tempat awam?
Setiap pagi masa memandu ke tempat kerja, Merak Jalanan pasti terserempak dengan ‘spesies manusia pelik’ yang buka tingkap kereta dan lempar plastik kosong, tisu atau kotak rokok ke luar macam jalan tu tong sampah.
Kereta dia bersih berkilat, siap guna pewangi bau vanilla latte. Tapi sampah dalam kereta? Jangan harap nak simpan. Jalan raya jugalah jadi mangsa.
Belum lagi cerita yang buang sisa makanan ke dalam longkang. Ada pula yang lebih 'kreatif' – buang tilam, perabot buruk, malah bangkai haiwan ke dalam sungai.
Bila parit tersumbat, bila sungai busuk macam longkang belakang pasar, mulalah salahkan pihak berkuasa.
Merak Jalanan tertanya-tanya apa sebenarnya ada dalam kepala mereka ni? Tak pernah nampak papan tanda ‘Dilarang Buang Sampah’ atau memang sengaja buat-buat buta huruf?
Budaya buang sampah merata ini bukan perkara kecil. Bila sampah menimbun, ia bukan saja cemarkan pemandangan, tapi tarik tikus, lipas, nyamuk.
Penyakit pun datang. Bila banjir kilat berlaku, siapa yang bising dulu? Golongan yang sama jugalah!
Sebenarnya penguatkuasaan kena keras. Tangkap dan denda sampai pedih. Jangan bagi amaran saja. Kalau Singapura boleh saman orang buang gula-gula getah, kenapa kita tak boleh tegas dengan yang buang tisu atau plastik.
Kedua, mentaliti rakyat kena dibentuk semula. Pendidikan sivik bukan sekadar di sekolah – ia perlu berterusan dan paling penting dalam keluarga.
Akhir sekali, kebersihan bukan tanggungjawab pekerja majlis perbandaran saja. Ia tanggungjawab kita semua.
Kalau sayang kereta boleh cuci hari-hari, takkanlah nak simpan sampah dalam kereta susah sangat?
Ingat, bumi ini bukan tong sampah bergerak. Kalau tak malu dengan orang lain, malulah dengan diri sendiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!