Dia yang buka pekung sendiri, tapi dia yang meroyan

MERAK JALANAN ingat lagi dulu orang tua-tua selalu pesan jangan buka aib orang, tak baik dan tak elok. Tapi zaman sekarang sudah terbalik pula.
Ramai yang suka buka pekung atau aib sendiri. Kalau tak buat kontroversi, macam tak lengkap hidup. Daripada ahli politik ke selebriti, pempengaruh, orang bisnes, sampailah rakyat marhaen; ramai yang ada hobi baru: buka pekung sendiri di media sosial. Mula-mula buat perangai pelik, lepas itu bila kena kecam, meroyan tak tentu hala.
Ahli politik contohnya, ada yang buat kenyataan kurang bijak, tapi bila rakyat marah, terus main kad ‘saya disalah tafsir’ atau ‘media putar belit kenyataan saya’. Padahal video yang menunjukkan dia sendiri cakap perkara tersebut telah tersebar. Lepas itu, ada hati nak ajar rakyat tentang moral dan adab.
Selebriti dan pempengaruh pun tak kurang hebatnya. Demi engagement, sanggup buat content tak cerdik, drama air mata atau tunjuk kemewahan tak kena tempat. Bila orang tegur, mulalah berlakon jadi mangsa keadaan. “Netizen toksik, suka jatuhkan orang,” katanya. Tapi kalau puji melangit, terus repost tanpa rasa bersalah.
Orang bisnes pun ada yang perangai lebih kurang sama. Jual produk tanpa ilmu, buat testimoni syok sendiri, lepas itu bila kena tegur dengan fakta, terus label orang yang tegur sebagai haters. Padahal dia yang mula-mula tunjuk kebodohan secara percuma.
Orang biasa pun sama. Update status penuh maki hamun, sindir bos, kutuk pasangan sendiri, aibkan keluarga, lepas itu rasa pelik kenapa hidup makin serabut. Dah awak sendiri yang sebarkan aib, lepas itu mudah saja nak salahkan takdir.
Moralnya, kalau tak mahu dikecam, jangan buka pekung sendiri. Kalau dah buat silap, terima saja dan minta maaf. Bukan buat drama tambahan untuk meraih simpati. Jangan salahkan netizen bila diri sendiri yang dengan bangganya mempamerkan ketidakcerdikan secara terbuka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!