Petra beri dua pilihan kepada Kelantan baiki cerun runtuh Bukit Remah

Akmal Nasrullah (tengah) meninjau pembinaan LRA Tanjung Mas pada Khamis.
Akmal Nasrullah (tengah) meninjau pembinaan LRA Tanjung Mas pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) memberi dua pilihan kepada Kerajaan Negeri Kelantan bagi membaik pulih cerun runtuh di Bukit Remah yang telah menyebabkan kerosakan teruk terhadap aset air di lokasi berkenaan.

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pilihan yang ditawarkan ialah sama ada syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bersetuju menguruskan kerja-kerja baik pulih itu di bawah pemantauan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), atau memohon geran daripada Kerajaan Persekutuan.

Menurut beliau, perkara itu telah dibincangkan bersama pihak AKSB dan satu keputusan segera amat diperlukan memandangkan runtuhan cerun boleh menjejaskan struktur Loji Rawatan Air (LRA).

“Kementerian memberi pilihan kepada mereka mengenai kaedah pelaksanaan kerana kami bimbang sekiranya kerja-kerja baik pulih tidak disegerakan, ia akan terus mengancam cerun yang telah pun mengalami kerosakan serius,” katanya.

“Sekiranya mereka memilih untuk melibatkan PAAB, syarikat berkenaan akan memantau keseluruhan proses pembaikan, manakala Kerajaan Persekutuan akan meneliti perkembangan sekiranya ia membabitkan permohonan geran,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Loji Rawatan Air Tanjung Mas, di sini pada Khamis. Turut hadir, Pengurus Projek PAAB, Abdul Karim Mohd Zain.

Cerun Bukit Remah mengalami runtuhan pada 28 November tahun lalu semasa musim Monsun Timur Laut, yang telah menyebabkan kerosakan kepada paip air mentah dan paip air terawat.

Akmal Nasrullah turut mengakui bahawa kejadian bencana seperti banjir yang memberi kesan terus kepada aset air adalah sesuatu yang jarang berlaku, namun Kerajaan Persekutuan bersedia membantu dalam usaha pemulihannya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, AKSB telah memaklumkan bahawa kos anggaran bagi kerja baik pulih cerun tersebut adalah sekitar RM6.05 juta.

Bagaimanapun, jelasnya, usaha itu hanya merupakan langkah mitigasi segera yang perlu diperhalusi, sementara perancangan sederhana dan jangka panjang akan dirangka kemudian.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, pembinaan LRA Tanjung Mas adalah sebahagian usaha untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran air sedia ada di Kelantan.

“Pembinaan kemudahan ini menunjukkan perkembangan yang positif walaupun berdepan beberapa cabaran.

“Kita menjangkakan kerja pembinaan telaga tiub akan selesai hujung tahun ini sebelum pelaksanaan fasa pra-pembinaan loji rawatan air di Tanjung Mas,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!