Lelaki berakit ke kebun durian, hanyut dari Tanah Merah ke Kota Bharu

KOTA BHARU – Hasrat seorang lelaki berusia lingkungan 50-an untuk ke kebun duriannya di Tanah Merah tidak kesampaian apabila rakit yang dinaikinya di Sungai Kelantan dihanyutkan arus sehingga ke Kota Bharu sejak beberapa hari lalu.
Petugas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Unit Marin, Abdullah Md Zain berkata, kelibat lelaki itu disedari semasa pihaknya menjalankan tugasan rutin di Jeti Unit Marin APM berhampiran Tambatan Diraja sekitar jam 5 petang pada Selasa.
“Kami seramai lima anggota menaiki bot fiber telah bertindak menghampiri rakit tersebut dan hasil soal siasat mendapati lelaki berkenaan telah dihanyutkan selama beberapa hari di Sungai Kelantan.
“Dia mendakwa datang dari Tanah Merah dan menaiki rakit untuk ke kebun duriannya, namun dibawa arus sungai yang deras,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurut beliau, lelaki berkenaan berada dalam keadaan sihat dan telah dibawa ke Jeti Kok Majid, Tumpat pada jam 5.35 petang, manakala rakitnya dibawa ke Jeti Unit Marin APM, Tambatan Diraja.
Ujarnya, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan semasa menjalankan sebarang aktiviti di sungai bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku.
“Keadaan cuaca sekarang tidak menentu. Sebelum melakukan sesuatu, diharap orang ramai mengutamakan keselamatan terlebih dahulu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!